ZII JIA yakin kemampuan Tat Meng untuk bawanya raih emas di Olimpik Paris. -FOTO NSTP
ZII JIA yakin kemampuan Tat Meng untuk bawanya raih emas di Olimpik Paris. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perubahan ketara dan ada peningkatan jelas sekali dapat dilihat kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas dia di bawah bimbingan ketua jurulatih Team Lee Zii Jia (Team LZJ), Wong Tat Meng.

Ia sudah pasti memberikan petanda positif buat kontinjen negara dalam memburu emas Olimpik sulung menjelang temasya berkenaan di Paris pertengahan yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Walaupun tumpas dalam perlawanan akhir Masters Malaysia kepada perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen semalam, pujian harus diberikan kepada Zii Jia yang mara ke final dua minggu berturut-turut termasuk di Terbuka Thailand.

Menurut bekas juara Asia dan All England itu, dia menganggap latihan yang diberikan Tat Meng sudah mula membuahkan hasil, sekali gus memberikan keyakinan kepadanya untuk menuai kejayaan di Paris nanti.

"Saya sudah cakap sebelum ini ketika melantik Tat Meng sebagai jurulatih bahawa beliau adalah seorang yang berpengalaman selain pernah menjadi jurulatih di dalam dan luar negara.

"Oleh itu, beliau sudah melalui banyak budaya badminton yang berbeza. Pengalaman serta pemikiran yang ada pada beliau akan digunakan sebaiknya untuk bantu saya capai matlamat di Olimpik," katanya.

Semalam di Axiata Arena, kekalahan kepada Axelsen menyaksikan Zii Jia kempunan untuk memenangi dua kejuaraan berturut-turut dan merangkul trofi kali pertama di laman sendiri.

Pemain kelahiran Kedah itu percaya dia masih perlu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, lebih-lebih lagi dia mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh dua minggu ini.

"Apa yang perlu diperbaiki lagi mungkin dari segi fizikal kerana dalam tempoh dua minggu ini, saya bertemu ramai pemain dan bermain banyak perlawanan. Saya masih mencari rentak terbaik untuk kembali berada di atas," ujar Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 4:49 PM