JALUR Gemilang menghiasi Plaza Tol Sungai Balak. FOTO ihsan Prolintas
JALUR Gemilang menghiasi Plaza Tol Sungai Balak. FOTO ihsan Prolintas
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Empat lebuh raya kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di sekitar Lembah Klang dihiasi dengan 455 Jalur Gemilang hingga 16 September depan.

Inisiatif itu bagi menyemarakkan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini.

Pengurus Besar (Operasi Lebuhraya) Prolintas, Azmee Nin berkata, pemasangan Jalur Gemilang itu adalah sebahagian daripada siri promosi yang dirancang oleh kumpulan syarikat bertujuan merayakan semangat kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan pengguna lebuh raya, pihak berkepentingan dan seluruh warga kerja Prolintas.

"Bendera dipasang pada setiap tiang lampu, plaza tol serta Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) di sepanjang jajaran empat lebuh raya Prolintas iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning Shah-Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (Kajang SILK).

"Lima Jalur Gemilang bersaiz gergasi turut dipasang pada tiang tinggi di lima lokasi iaitu Plaza Tol Dato' Keramat di AKLEH, Plaza Tol Elmina di GCE, Plaza Tol Alam Impian serta Plaza Tol Sungai Balak dan Plaza Tol Sungai Ramal di Kajang SILK," kata dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selaku syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Lembah Klang, menjadi tanggungjawab Prolintas untuk menghidupkan perayaan Bulan Kebangsaan meskipun dengan kaedah yang masih bersederhana selari peralihan ke fasa endemik Covid-19 dan norma baharu.

Katanya, Kumpulan Prolintas juga menjalankan kempen #MerdekaDenganPROLINTAS di laman media sosial rasmi syarikat membabitkan beberapa aktiviti menarik seperti trivia berkaitan sambutan kemerdekaan 2022, siri kad pos memaparkan keunikan, warisan dan mercu tanda setiap negeri di Malaysia dan peraduan '#PROLINTASHiddenFlags'.

"Peraduan '#PROLINTASHiddenFlags' yang dijalankan sepanjang Ogos dan September menerusi akaun Instagram dan Facebook rasmi Prolintas mengajak warganet untuk mencari dan mengira Jalur Gemilang tersembunyi dalam poster yang dimuat naik.

"Lima penyertaan terpantas dengan jawapan tepat akan dipilih sebagai pemenang pada setiap minggu. Peserta mestilah mengikuti Facebook rasmi dan akaun Instagram rasmi Prolintas untuk menyertai peraduan itu.

"Pemenang akan diumumkan jam 6 petang, 16 September 2022. Seramai 20 pemenang akan dipilih sepanjang kempen peraduan menawarkan hadiah bernilai sehingga RM2,000," katanya.

Sementara itu, katanya, Sistem Mesej Pelbagai (VMS) yang terletak di sepanjang empat lebuh rayanya juga diserikan dengan ucapan kemerdekaan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurutnya, logo rasmi syarikat yang terpapar pada entri laman web dan akaun sosial media rasmi syarikat turut dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang sehingga kempen tamat.

"Selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', bahagian operasi lebuh raya Prolintas akan bersiap siaga memastikan perjalanan warga kota lancar pada sambutan kemerdekaan dan cuti umum hari ini memandangkan ia adalah tahun pertama sambutan kemerdekaan diadakan secara fizikal selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 3:09 PM