TNGD mahu tarik lebih ramai pengguna Touch ‘n Go eWallet.
TNGD mahu tarik lebih ramai pengguna Touch ‘n Go eWallet.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd (TNGD), syarikat yang membangunkan Touch ‘n Go eWallet mahu menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan aplikasi pembayaran digital itu seterusnya mewujudkan komuniti dan budaya tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya berharap dapat mewujudkan ekosistem yang lebih baik menerusi aplikasi itu dan menghubungkan fungsi serta peranan TNG kepada pengguna dengan lebih baik lagi.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu, aplikasi pembayaran digital itu atau e-dompet itu mula memperkenalkan pelbagai fungsi yang disertai kira-kira 40,000 peniaga setakat ini.

Terdapat beberapa fungsi yang terdapat pada e-dompet itu seperti perkhidmatan pembayaran seperti di parkir kenderaan, bil telefon, runcit serta Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan yang terkini adalah PayDirect yang kini boleh digunakan di enam lebuh raya.

Antara lebuh raya yang berkaitan adalah Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Silk, Lebuh Raya Maju Expressway (Mex), Terowong Smart, Lebuhraya Grand Saga dan Grand Sepadu, Lebuhraya Latar dan Akleh.

“TNG berada dalam industri selama 20 tahun dan ia juga adalah syarikat pertama di dunia yang memperkenalkan perkhidmatan kad prabayar tunai.

“Setelah dua dekad, kini tiba masa syarikat ini terus bergerak ke depan dan sekali lagi menjadi peneraju dalam segmen yang sedang berkembang pesat, iaitu pembayaran digital atau e-dompet ini.

“Jadi, apa yang menjadi keutamaan sekarang dalam memupuk kesedaran mengenai kepentingan dan manfaat untuk beralih daripada masyarakat yang bergantung kepada tunai kepada komuniti digital,” katanya kepada Bisnes Metro.

Ketika ini terdapat kira-kira tiga juta pengguna e-dompet TNG serta 13 juta pengguna unik untuk kad TNG seluruh negara dan Syahrunizam yakin semua pemegang kad itu akan menggunakan aplikasi itu dalam tempoh kurang dua tahun.

Menurutnya, untuk menjadikan aplikasi itu terus relevan dengan kehadiran lebih 40 produk yang sama dalam pasaran, pihaknya perlu terus menawarkan fungsi serta ciri yang lebih menepati kepada segmen gaya hidup.

“Lebih banyak fungsi akan dilancarkan pada masa depan bagi memastikan pelanggan lebih yakin dan selesa untuk menggunakan e-dompet TNG ini di mana-mana saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 8:20 AM