ANWAR menyempurnakan gimik perasmian acara kemuncak Hawana 2024, hari ini, disaksikan Fahmi (dua, kanan), Abang Johari (dua, kiri), Abdullah (kanan) dan Wong (kiri). FOTO Bernama
ANWAR menyempurnakan gimik perasmian acara kemuncak Hawana 2024, hari ini, disaksikan Fahmi (dua, kanan), Abang Johari (dua, kiri), Abdullah (kanan) dan Wong (kiri). FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) menerima suntikan RM1 juta bagi membantu petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Bantuan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kemuncak Hawana 2024 di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

Anwar berkata, ia adalah tambahan kepada dana RM1 juta yang disalurkan pada Hawana tahun lalu.

"Saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana pada 2025.

"Ia bagi membolehkan lebih ramai lagi veteran dan pengamal media yang mengalami kesempitan hidup dan ditimpa keuzuran dapat dibantu," katanya.

Turut hadir pada Majlis Kemuncak Hawana 2024, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Tabung Kasih@Hawana diperkenalkan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama tahun lalu bagi membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.

Setakat ini, seramai 102 orang pengamal media sudah dijejaki dan dibantu menerusi tabung berkenaan.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Pusat Latihan Kecemerlangan Bernama khusus bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk pengamal media.

Hawana 2024, perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' berlangsung buat pertama kali di luar Semenanjung.

Hawana 2024 dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media termasuk dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan, Qatar dan Perancis.

Hawana tahun ini ialah penganjuran edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:02 PM