Polis Bantuan PROLINTAS mengagihkan nasi lemak percuma kepadapengunjung Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE sempena Hari Kebangsaan ke-66. FOTO Ihsan PROLINTAS
Polis Bantuan PROLINTAS mengagihkan nasi lemak percuma kepadapengunjung Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE sempena Hari Kebangsaan ke-66. FOTO Ihsan PROLINTAS
Pengagihan nasi lemak percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 kepada pengguna di Plaza Tol Alam Damai, Lebuhraya SUKE. FOTO Ihsan PROLINTAS
Pengagihan nasi lemak percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 kepada pengguna di Plaza Tol Alam Damai, Lebuhraya SUKE. FOTO Ihsan PROLINTAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengagihkan 1,957 nasi lemak percuma kepada pengguna yang melalui beberapa plaza tol di enam lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66, hari ini.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat PROLINTAS Badri Ibrahim berkata, agihan itu dijalankan bermula jam 8 pagi tadi menyasarkan pengguna lebuh raya yang keluar meraikan kemerdekaan negara di sekitar Lembah Klang.

"Nasi lemak diedarkan di setiap lebuh raya kendalian PROLINTAS termasuk di Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE); Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam, (LKSA) dan Plaza Tol Sungai Ramal, Lebuhraya Kajang SILK.

"Agihan sama turut dijalankan di Plaza Tol Alam Damai (arah Sri Petaling) dan Plaza Tol Ampang (arah Ulu Kelang), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) serta Plaza Tol Kota Damansara (arah Kuala Lumpur), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, lebih 1,000 nasi lemak diagihkan di Kawasan Rehat Elmina, Lebuhraya GCE menjadikan jumlah keseluruhan agihan 3,000 nasi lemak.

"Aktiviti ini diadakan untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan terutama dalam kalangan pengguna lebuh raya.

"Pemberian 1,957 nasi lemak itu sempena tahun bersejarah kemerdekaan negara selain sebagai simbolik perpaduan dan hidangan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya," katanya.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 kali ini juga, pelbagai kempen dijalankan bersama warga kerja dan peniaga di kawasan rehat lebuh raya PROLINTAS sehingga 16 September depan.

Kira-kira 600 Jalur Gemilang dipasang di sepanjang AKLEH, GCE, LKSA, SILK, SUKE dan DASH.

Bagi menghangatkan suasana sambutan itu, PROLINTAS turut menjalankan pertandingan menghias premis jualan di kawasan Elmina, Lebuhraya GCE.

Peniaga menghias premis jualan dengan barangan terpakai dengan tema kemerdekaan bagi menggalakkan aktiviti kitar semula dan kelestarian.

Kempen memakai pakaian bertemakan kemerdekaan ke pejabat juga dijalankan pada 30 Ogos lalu bagi menyemarakkan semangat

patriotisme dalam kalangan warga kerja PROLINTAS.

Bahagian operasi lebuh raya PROLINTAS bersiap siaga dalam memastikan kelancaran trafik warga kota yang menggunakan lebuh raya kendaliannya sempena cuti umum dan sambutan perayaan kemerdekaan hari ini.

⁃ ends

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 9:38 PM