Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 11 murid dan pelajar membabitkan darjah lima hingga tingkatan tiga ditahan selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya di jalan raya di Taman Berlian, Gombak hari ini.

Mereka ditahan pada 4.30 petang oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hasil aduan orang ramai.

Ketua Polis Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mereka dikesan menunggang basikal yang sudah diubah suai tanpa ciri keselamatan secara berbahaya dengan pelbagai aksi termasuk ‘Superman’.

Katanya, susulan itu polis menghubungi keluarga mereka.

“Sebanyak 11 saman dikeluarkan kepada mereka yang berusia 11 hingga 15 tahun mengikut Peraturan 42(1)a Kaedah Lalu Lintas 1959.

“Basikal mereka disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melanggar syarat reka bentuk yang ditetapkan selain tiada ciri keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak dan remaja itu sudah dibebaskan selepas polis memberikan penerangan serta nasihat mengenai bahaya basikal lajak.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gombak akan terus memantau serta mengambil tindakan terhadap kegiatan ini.

“Kita turut berharap ibu bapa dapat memastikan anak-anak tidak menunggang basikal lajak ini di jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 1:26 AM