Nur Saliawati Salberi


SELEPAS langgar, cabut lari. Itulah gelagat sekumpulan kanak-kanak dipercayai menyertai lumba basikal lajak, selepas seorang dari mereka melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage di dalam petak parkir di tepi jalan.

Menerusi rakaman video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 37 saat yang tular di media sosial sejak empat hari lalu kejadian berlaku di Bukit Baru, Melaka, membabitkan lima basikal lajak.

Rakaman dikongsi netizen itu menunjukkan lima kanak-kanak menunggang basikal lajak di kawasan berselekoh, malah seorang dari mereka dilihat membuat aksi 'Superman'.

Namun, seorang dari mereka gagal mengawal basikal menyebabkan dia terlajak lalu melanggar SUV yang berada dalam petak parkir di tepi jalan.

Basikal ditunggang kanak-kanak itu melanggar pintu penumpang depan dan kepalanya terkena cermin sisi, dia terjatuh hingga menyebabkan kepalanya dipercayai terhentak pada laluan pejalan kaki.

Kanak-kanak itu bangun semula, namun dia kelihatan kebingungan sebelum rakan lain datang membantunya.

Pembantu kafe di Pusat Niaga Bukit Baru, yang hanya mahu dikenali sebagai Hardy, 28, yang ditemui mengakui lokasi itu sebelum ini kerap menjadi tumpuan kumpulan basikal lajak.

"Kumpulan ini biasanya aktif sebelah petang terutama pada hujung minggu kerana kawasan ini lengang, tak banyak kereta. Ahli kumpulan ini tak ramai sekitar 10 orang saja tapi yang kurang enak ada dalam kalangan mereka menunggang sambil melakukan aksi berbahaya.

"Difahamkan kumpulan itu hanya singgah saja di sini, namun tindakan mereka berkumpul berhampiran persimpangan boleh menyebabkan berlaku kemalangan kerana lokasi itu agak terlindung dan pemandu sukar melihat apa yang berada di depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pihaknya sedar dengan kewujudan aktiviti basikal lajak di negeri ini.

"Hasil pemantauan mendapati kumpulan ini aktif pada waktu malam, namun membabitkan kumpulan kecil saja. Tak kira berlumba atau tidak, kehadiran kumpulan ini terutama di jalan utama membahayakan keselamatan mereka sendiri dan pengguna lain.

"Basikal ditunggang itu tidak ada lampu amaran, loceng dan sebagainya, jadi saya amat berharap ibu bapa pantau pergerakan anak masing-masing. Mereka sepatutnya tidak benarkan remaja atau kanak-kanak ini berada di luar rumah selepas waktu tengah malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 7:04 PM
Rakaman CCTV menunjukkan seorang kanak-kanak melanggar SUV di Bukit Baru yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan seorang kanak-kanak melanggar SUV di Bukit Baru yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca