KEADAAN mayat mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN mayat mangsa. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Bangladesh ditemui maut selepas dipercayai akibat ditikam lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan 1/19, di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan kejadian terbabit, jam 9.10 malam.

“Pemeriksaan di lokasi menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa didapati mengalami kecederaan beberapa tikaman di belakang badan yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa membela 12 kucing dan ketika kejadian itu, lelaki Bangladesh berkenaan sedang memberi makan serta minum haiwan berkenaan sebelum suspek terkena air minuman kucing yang disiram mangsa menyebabkan berlaku pergaduhan,” katanya dalam kenyataan, , hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan dilakukan di lokasi menemui tompokan darah di hadapan bilik dipercayai akibat pergaduhan antara mangsa dengan suspek.

“Pasukan forensik turut merampas puntung rokok, sarung pisau, baju dan seluar selain menemui tiga cap jari di lokasi.

“Pemeriksaan di dalam bilik suspek berjaya memperolehi butiran lelaki dikenali sebagai Hardianto. Bagaimanapun, semakan bagi mendapatkan nombor pasport suspek akan dibuat hari ini daripada pihak Kedutaan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, lokasi kejadian adalah rumah banglo satu tingkat yang diubahsuai dijadikan bilik sewa.

“Terdapat empat bilik tidur dan kawasan halaman rumah itu tidak terurus. Rumah itu didiami oleh penyewa yang terdiri daripada beberapa warga asing.

“Hasil temu bual dengan jiran mendapati rumah itu dimiliki seorang wanita yang sudah meninggal dunia dan tidak mengetahui siapa pewarisnya.

“Penghuni yang menyewa bilik di rumah berkenaan membayar sewa kepada emak suspek dikenali sebagai Asniyah yang melarikan diri bersama anak lelakinya itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, jam 10 pagi.

“Usaha memburu suspek dan ibunya yang melarikan diri sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 9:09 AM