GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan lelaki Myanmar yang dipercayai membunuh seorang lelaki di atas sebuah bot di kawasan pelantar ikan Bagan Parit 4, Sungai Sumun dekat Hutan Melintang, semalam.

Suspek yang berusia 40-an ditahan di lokasi sama, 12 tengah hari semalam.

Mangsa dipercayai lelaki warga asing namun identitinya masih belum dikenal pasti dan kedua-dua lelaki itu berkerja sebagai nelayan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di lokasi kejadian.

Menurutnya, pergaduhan itu dipercayai berlaku 11.20 pagi dengan suspek menggunakan parang untuk menyerang mangsa.

“Mangsa dipercayai ditolak ke sungai selepas ditetak suspek dalam pergaduhan itu.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tompokan darah, cebisan daging dan tulang dipercayai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Marzukhi berkata, susulan itu, polis mendapatkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk mencari mangsa di sungai berkenaan.

“Bagaimanapun parang yang digunakan suspek masih belum ditemui dan suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 10:30 AM