GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


LELAKI yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkaitan dadah ditahan dalam serbuan polis di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 11.30 malam, lelaki berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri ke arah belakang rumah tetapi pasukan polis bertindak pantas mengejarnya sebelum berjaya menahannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, lelaki itu kemudiannya dibawa ke sebuah bilik di bawah rumah berkenaan sebelum polis menemui satu kotak rokok di atas lantai.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat bahan tumbuhan kering dalam kotak rokok berkenaan disyaki dadah jenis ganja.

“Hasil soal siasat, suspek turut mengaku ada menyimpan ubat batuk di belakang rumah dan daun ketum di dalam keretanya,” katanya.

Beliau berkata, suspek itu kemudiannya membawa pegawai dan anggota polis terbabit ke bahagian belakang rumah sebelum menunjukkan kotak di tepi pagar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dalam kotak itu ada dua bungkusan plastik yang setiap satu mengandungi satu tabung botol plastik berisi cecair kehitaman disyaki ubat batuk.

“Selain itu, suspek turut membawa anggota ke bahagian hadapan rumah lalu menunjukkan sebuah kereta jenis Honda.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui satu bungkusan plastik yang didalamnya mengandungi 10 bungkusan plastik diikat getah dipercayai berisi daun ketum di bawah tempat duduk belakang,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan semua barangan terlarang yang ditemui itu dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:03 PM