GARELLA seronok melayan kerenah kanak-kanak.
GARELLA seronok melayan kerenah kanak-kanak.
SINDROM Down tidak halang Garella berikan khidmat terbaik untuk anak muridnya
SINDROM Down tidak halang Garella berikan khidmat terbaik untuk anak muridnya
KANAK-KANAK kecil selesa bersama Garella.
KANAK-KANAK kecil selesa bersama Garella.
SESI membaca buku cerita yang ‘sibuk’ tetapi menyeronokkan.
SESI membaca buku cerita yang ‘sibuk’ tetapi menyeronokkan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Siapa yang memandang rendah keupayaan individu sindrom Down dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat, sila ubah sikap negatif itu. Meskipun dilahirkan dengan kekurangan jika dibandingkan individu normal, kelompok istimewa ini masih boleh menawarkan khidmat mereka dengan cara tersendiri.

Noelia Garella - wanita sindrom Down membuktikannya dengan menjadi guru tadika di bandar Cordoba, Argentina. Dia individu sindrom Down pertama di negara itu yang bekerja sebagai guru walaupun ketika kecilnya dulu permohonan ibunya untuk memasukkan Garella ke sebuah tadika pernah ditolak hanya kerana dia mempunyai wajah ‘pelik’.

Kini pada usia 31 tahun, Garella mempunyai kelas dan anak murid sendiri. Pun begitu dia tidak dapat lari daripada sikap prejudis masyarakat yang sering mempersoalkan sama ada bolehkan individu yang ada masalah kognitif diberi tanggungjawab mengendalikan kelas?

Guru muda ini sebenarnya tidak perlu menjawab persoalan itu kerana perlakuan anak muridnya yang berusia dua dan tiga tahun ketika berada di dalam kelas merungkai kebimbangan berkenaan.

Mereka bukan saja manja, malah mendengar kata-katanya. Dalam satu sesi, mereka duduk mengelilingi Garella untuk mendengar si guru membaca buku cerita dengan penuh minat. Malah, kanak-kanak itu turut meniru apa yang dilakukan Garella apabila dia menunjukkan gaya ikan jerung dengan menunjukkan giginya.

“Saya sukakan keadaan ini. Sejak kecil, saya selalu mengimpikan untuk menjadi guru kerana sangat suka kanak-kanak,” katanya memberitahu wartawan AFP.

“Saya mahu mereka membaca dan mendengar. Inilah situasi sebenar dalam masyarakat, kita saling mendengar antara satu sama lain,” sambungnya.

Kesungguhan Garella itu memberi inspirasi kepada rakan sejawatnya untuk mengambil dia menjadi guru di sebuah tadika di utara bandar Cordoba, walaupun dia ada kekurangan tertentu dan mendapat tentangan daripada beberapa pihak.

Satu pihak mempersoalkan tindakan itu dan mengatakan Garella tidak sepatutnya diberikan tanggungjawab mengajar kerana keadaannya, kata bekas pengarah sekolah yang mengambil guru berkenaan bekerja, Alejandra Senestrari.

Bagaimanapun, guru, ibu bapa bahkan Datuk Bandar Cordoa mempertahan dan menyokong tindakan Alejandra. Bagi mereka, tiada alasan kukuh mengapa Garella tidak boleh mengajar membaca untuk anak muridnya yang masih kecil.

“Tetapi lama-kelamaan dan selepas melihat keadaan sebenar, orang yang dulunya menentang turut menyokong inisiatif mengambil Noe (Garella) sebagai guru.

“Kami dapati dia benar-benar bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya. Dia berikan apa yang sangat dihargai oleh kanak-kanak tadika iaitu kasih sayang,” katanya Senestrari.

Bukan insan pelik

Sindrom Down adalah kecacatan genetik yang disebabkan kerosakan pada kromosom. Ia biasanya memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan intelek seseorang. Individu sindrom Down juga mudah dikenal melalui ciri seperti muka dan kepala lebar, mata sepet, hidung kemik dan kaki yang pendek.

Namun dalam kes Garella, keadaan itu tidak sedikit pun menjejaskan keyakinan dirinya. Malah hari ini dia boleh tersenyum apabila diberi peluang dan kepercayaan merealisasikan impiannya.

Ketika ditemu bual, ibunya, Mercedes Cabrera ada di sisinya. Matanya berair apabila Garella menceritakan mengenai pengarah pusat jagaan kanak-kanak itu yang memberitahu ibu bapanya ‘Tidak menerima insan pelik’.

Namun Garella tersenyum sambil berkata, “Guru itu umpama kisah yang saya bacakan kepada anak murid saya. Tetapi dia manusia pelik yang menyedihkan yang tidak tahu apa-apa dan melakukan kesilapan. Saya pula manusia pelik yang gembira,” katanya.

Di negara lain mungkin sudah ada individu sindrom Down yang menjadi guru. Namun kes Garella ini dianggap yang pertama di Amerika Latin. Ketika dia diterima menjadi guru, pelbagai reaksi dan kontroversi timbul kerana mempertikaikan adakah pelajar atau guru dengan sindrom Down boleh ditempatkan di sekolah awam.

Kes Garella itu jugalah yang menyentuh hati rakan sejawatnya.

“Itu pengalaman yang unik bagi kami semua,” kata pengarah tadika berkenaan, Susana Zerdan.

“Melihat penerimaan kanak-kanak, cara dia menyesuaikan diri dengan sekolah ini semuanya memberi pengajaran kepada kami,” katanya.

Garella menyertai sistem pendidikan awam Cordoba sebagai pembantu untuk kelas membaca pada 2012.

“Saya seronok bersama kanak-kanak. Ibu bapa mereka juga menerima saya dengan baik. Bahkan guru dan pengarah di sini semuanya baik-baik,” jelasnya.

Guru tadika ini suka berlatih tarian Latin pada masa lapangnya. Dia mengimpikan untuk mempunyai anak sendiri dan mengakui hatinya ‘sudah ditawan’ oleh seseorang.

Sejak Januari lalu, dia berkongsi tanggungjawab menjadi guru kelas bersama seorang lagi guru.

“Di dalam kelas saya ada seorang kanak-kanak lelaki sindrom Down. Dia istimewa dan mengagumkan. Saya rasa seronok, ada insan seperti saya dilahirkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:38 PM