NORMAH beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Titian OKU Nur.
NORMAH beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Titian OKU Nur.
NORMAH memangku Orked Diana yang menghidap penyakit sindrom Down.
NORMAH memangku Orked Diana yang menghidap penyakit sindrom Down.
Asrizal Aris


Rawang: Mulianya hati wanita ini apabila bukan saja tabah menjaga 50 orang kurang upaya (OKU) mental dalam sebuah rumah, malah sanggup menerima bayi baru lahir yang didiagnosis sindrom Down untuk dijadikan anak angkat.

Lebih menyentuh hati, bayi itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sebaik saja urusan hak penjagaan terhadap bayi itu diserahkan kepada wanita berkenaan.

Meskipun menempuh dugaan hebat, tidak menghalang Normah Adlan, 45, membesarkan bayi yang kini mencecah usia lima bulan yang diberi nama Orked Diana Hila di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, di sini, bersama penghuni yang lain.

Normah berkata, lima bulan lalu dia menerima panggilan menyatakan ada pihak mahu memberi bayi sindrom Down kepadanya untuk dijaga dan dia terkejut apabila tiba di hospital, bayi itu baru dilahirkan.

Katanya, dia dimaklumkan ibu kepada Orked tidak mampu menjaga bayi sindrom Down dan lebih mengejutkan Orked difahamkan mempunyai kembar.

“Ikutkan hati saya mahu menjaga kedua-duanya, namun kembar kepada Orked diberi hak penjagaan kepada orang lain yang menetap di Perak. Selepas melihat Orked, saya mula sayang dan terus mengambil hak penjagaan.

“Saya yakin boleh menjaganya kerana sebelum ini saya membesarkan dua bayi sindrom Down, namun kali ini situasi berbeza kerana Orked bukan saja istimewa, tetapi menghidap jantung berlubang.

“Bagaimanapun, itu bukan sebab saya berputus asa menjaganya walaupun menampung perbelanjaan tinggi,” katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Jalan Sentosa, di sini, semalam.

Menurut Normah, pihak hospital memaklumkan penyakit dialami Orked menyebabkan injap jantung bahagian kirinya menjadi sempit dan gagal berfungsi dengan sempurna.

“Doktor menasihatkan menjalani pembedahan, tetapi dia masih kecil dan saya risau memberi kesan kepada jangka hayatnya. Lagipun, kos pembedahan jantung berlubang tinggi.

“Saya hanya mampu membawanya mendapatkan rawatan susulan dan terapi setiap bulan menggunakan wang sumbangan Pusat Jagaan Titian OKU,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Menurutnya, dia dimaklumkan kembar Orked juga bayi sindrom Down yang mempunyai penyakit serius dipercayai kanser usus, namun dia berharap kedua-duanya dapat membesar dengan sihat serta dipertemukan satu hari nanti.

“Sudah 10 tahun saya mewujudkan rumah jagaan OKU ini dan pelbagai kejadian serta pengalaman saya sudah lalui. Bagi saya, tiada apa yang mustahil.

“Meskipun memerlukan kesabaran dan ketabahan tinggi, saya teruskan juga menjaga 50 penghuni OKU di sini dan dibantu enam penjaga yang setia,” katanya yang membelanjakan lebih RM15,000 sebulan untuk rumah jagaan itu.

Menurut Normah yang membuat perniagaan coklat dan aiskrim secara sambilan, dia tidak pernah berkira dengan apa dibelanjakan untuk rumah jagaan itu, sebaliknya usaha itu dianggap sebagai saham akhirat untuk dia sekeluarga.

Katanya, semua penghuni di pusat jagaan itu OKU mental dan sindrom Down berusia dari lima bulan hingga 96 tahun serta mendapat bantuan daripada Pusat Zakat Baitulmal Wilayah sebanyak RM10,000 setahun.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk kos rawatan Orked atau sumbangan kepada rumah jagaan itu boleh dilakukan menerusi akaun Bank CIMB 8000519387 atas nama Pusat Jagaan Titian OKU Nur atau terus menghubungi Normah di talian 012-6731816.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:55 AM