Yusri Abdul Malek


“WALAUPUN berkerusi roda tetapi saya tetap bersemangat moga Allah permudahkan perjalanan ini,” kata Haslina Abu Bakar, 56, dari Kedah.

Dia antara 30,200 jemaah haji Malaysia yang mula bergerak ke Arafah untuk berwukuf.

Wukuf di Arafah adalah rukun terpenting dalam ibadah haji.

Setiap jemaah perlu berada di Arafah sekurang-kurangnya seketika pada waktu Zohor, 9 Zulhijjah sehingga Subuh 10 Zulhijjah.

Menurutnya, sejak datang ke Makkah sebulan lalu, dia dan suami menunggu saat berwukuf bagi menyempurnakan haji.

Katanya, setakat ini, kesihatannya baik walaupun ada batuk-batuk, mungkin kerana perubahan cuaca.

Jemaah lain, Md Akhir Yahya,72, dari Kampung Nakhoda, Selayang, Selangor berkata, dia berharap diberi kesihatan baik bersama isteri agar dapat melaksanakan ibadah di masyair dengan sempurna.

Katanya, isterinya berkerusi roda dan dia terpaksa menolak isterinya sepanjang berada di Makkah.

“Saya syukur sejak datang ke Makkah pada 20 Julai lalu, saya dan isteri sempat beberapa kali ke Masjilharam dan mengerjakan umrah,” katanya yang di Abraj Al Janadriyah, di Makkah, semalam.

SYED Saleh mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji yang akan bertolak ke Arafah. FOTO Yusri Abdul Malek
SYED Saleh mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji yang akan bertolak ke Arafah. FOTO Yusri Abdul Malek

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji sudah mula bergerak ke Arafah dan ia adalah pergerakan besar-besaran jemaah.

Beliau yang turut sama terbabit membantu melancarkan pergerakan jemaah berkata, pergerakan jemaah haji bermula jam 6 pagi dan dibahagikan kepada tiga ‘trip’ (perjalanan).

“Pergerakan dilakukan awal bagi mengelak kesesakan kerana hari ini adalah Jumaat dan banyak hotel penginapan jemaah haji Malaysia di sekitar Masjidilharam.

“Kita menjangka semua jemaah akan berada di bumi Arafah sebelum Maghrib.

“Selepas itu, jemaah akan digerakkan ke Mudzalifah selepas jam 11.50 malam 10 Zulhijjah untuk bermabit sebelum ke Mina untuk melontar di Jamrah,” katanya.

Sementara itu, setakat ini, 98 jemaah haji yang dirawat di pusat rawatan akan dibawa juga berwukuf melalui program Safari Wukuf.

Syed Saleh berkata, jumlah pesakit itu adalah sehingga semalam dan dijangka ada pertambahan sebelum wukuf.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 3:52 PM
SYED Saleh turut membantu menolak jemaah haji yang berkerusi roda ke bas sebelum ke Arafah. FOTO Yusri Abdul Malek
SYED Saleh turut membantu menolak jemaah haji yang berkerusi roda ke bas sebelum ke Arafah. FOTO Yusri Abdul Malek