BERNAMA

Makkah: Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula 7 pagi waktu Arab Saudi, hari ini untuk ibadah wukuf yang menjadi kemuncak haji pada esok, 9 Zulhijjah (27 Jun).

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, 21 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan bagi membawa jemaah haji Muassasah dalam tiga penggiliran perjalanan ke Arafah, 22 kilometer dari Masjidilharam di sini.

Beliau berkata, 179 bas pula akan membawa jemaah haji yang mengikuti pakej oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Selain itu, 300 petugas haji bergerak pada 12 tengah malam Isnin bagi membuat persiapan terakhir menyambut jemaah haji negara.

"Setelah selesai semua pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah, pihak Tabung Haji (TH) akan membuat semakan dari bilik ke bilik di semua hotel penginapan jemaah haji serta di Masjidilharam bagi memastikan tidak ada yang tercicir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, TH juga mengaktifkan bilik gerakan di Arafah pada 4 pagi tadi waktu Arab Saudi yang akan menjadi nadi kepada operasi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, bagi jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH Makkah dan Hospital Arab Saudi, mereka dibawa untuk wukuf di Arafah menggunakan enam bas khas diiringi unit ambulans menerusi program Safari Wukuf.

Jemaah haji Malaysia kemudian akan bergerak untuk mabit (bermalam) di Muzdalifah bermula 6.30 petang Selasa, sebelum melontar di Mina sehingga 13 Zulhijah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:09 PM
BAS yang digunakan untuk mengangkut jemaah haji tahun ini diparkir berhampiran Makkah. FOTO SPA/ AFP
BAS yang digunakan untuk mengangkut jemaah haji tahun ini diparkir berhampiran Makkah. FOTO SPA/ AFP