Jemaah Malaysia dalam khemah penginapan di Arafah. FOTO Nasharuddin Muhammad
Jemaah Malaysia dalam khemah penginapan di Arafah. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


SEBAHAGIAN besar jemaah Malaysia sudah berada di Arafah selepas tiba secara berperingkat sejak pagi hari ini.

Semua dijangka tiba untuk bermalam di Arafah menjelang tengah malam ini untuk Hari Wukuf esok.

Kumpulan terawal jemaah terbabit mula bertolak dari Makkah ke Arafah kira-kira 9 pagi tadi (2 petang Malaysia).

Terdahulu, kumpulan pertama petugas haji khususnya yang terbabit secara langsung dengan operasi masya'ir bertolak lebih awal, kira-kira 6 pagi tadi (11 pagi Malaysia).

Berikutan pertambahan bilangan jemaah dari seluruh dunia, pengurusan TH mempercepatkan pergerakan jemaah Malaysia bagi mengelak kesesakan teruk.

Mengikut amalan sebelum ini, jemaah Malaysia hanya mula bertolak ke Arafah selepas Zuhur.

Majlis pelepasan rasmi kumpulan pertama jemaah Malaysia di ibu pejabat TH Makkah pagi tadi disempurnakan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pergerakan jemaah haji berjalan lancar dan di Arafah, semua kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan khemah juga sudah tersedia.

Menurutnya, bagi jemaah yang sakit, mereka tetap akan dibawa untuk berwukuf termasuk yang masih dirawat di Pusat Rawatan Syisyah.

Katanya, memandangkan waktu Wukuf hanya bermula selepas tergelincir matahari waktu Zuhur, jemaah haji dinasihatkan mengehadkan pergerakan mereka pada waktu pagi.

"Mereka perlu menyimpan tenaga untuk tempoh yang lebih afdal untuk berdoa, berzikir dan ibadat pada waktu kemuncak Wukuf nanti," katanya.

Di Arafah, semua jemaah ditempatkan dalam khemah baru yang kali pertama digunakan pada musim haji kali ini.

Khemah itu lebih besar dan kukuh bagi menahan tiupan angin kencang serta kalis api dengan setiap satu dapat memuatkan 150 hingga 240 orang.

Bagi memberi keselesaan kepada jemaah, kipas berwap dipasang di setiap khemah dengan setiap maktab disediakan 150 unit.

Pada musim haji ini, buat julung kali, jemaah disajikan dengan menu Melayu dan Arab yang lebih menepati selera mereka.

Esok, lebih 1,000 jemaah akan mengambil bahagian dalam majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour (WQH) Arafah 2017.

Peserta yang dibahagi mengikut maktab akan menghabiskan bacaan dalam masa sejam bermula 9 pagi (2 petang Malaysia).

Ia sebahagian daripada pengisian aktiviti ibadat mereka sementara menunggu waktu Wukuf.

Sebaik masuk waktu Wukuf, jemaah akan mendengar Khutbah Arafah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kemudian, sebaik masuk waktu Asar hingga Maghrib, inilah detik paling mustajab untuk berdoa dan jemaah tidak seharusnya melepaskan peluang itu.

Selepas itu, sebaik melepasi tempoh separuh tengah malam esok, jemaah akan bertolak ke Muzdalifah pula untuk bermabit iaitu satu daripada perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:45 PM