EMPAT awak-awak menyelamatkan diri di atas bot yang terbalik sebelum diselamatkan pasukan Maritim Malaysia kira-kira 9.5 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor Batu Pahat. FOTO ihsan Maritim Malaysia
EMPAT awak-awak menyelamatkan diri di atas bot yang terbalik sebelum diselamatkan pasukan Maritim Malaysia kira-kira 9.5 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor Batu Pahat. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Ibrahim Isa


TINDAKAN pantas anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan empat nelayan termasuk seorang tekong daripada lemas selepas bot pukat tunda dinaiki terbalik kira-kira 9.5 batu nautika barat daya Tanjung Tohor dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.30 pagi, dua bot dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa.

“Kami menyelamatkan keempat-empat nelayan tempatan itu yang berpaut pada bot yang terbalik di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan, nelayan tempatan itu dilaporkan keluar menangkap ikan dan sepatutnya pulang esok (hari ini), namun tali pukat tunda tersangkut pada sebuah kapal dagang yang melalui kawasan berkenaan mengakibatkan bot itu diseret dan terbalik.

“Mujur tali pukat tunda itu terputus dan semua nelayan berkenaan menunggu bantuan di atas bot yang terbalik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selepas ditemui semua nelayan berusia 28 hingga 49 tahun itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, semua nelayan diingatkan sentiasa menyediakan peralatan keselamatan mencukupi dan memastikan bot dalam keadaan baik sebelum ke laut mencari rezeki.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut, boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di nombor 07-4344020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 6:15 AM