MOHD Ridzuan yang juga OKU yang mengidap penyakit 'Raynoud' ketika ditemui. FOTO RASUL AZLI SAMAD
MOHD Ridzuan yang juga OKU yang mengidap penyakit 'Raynoud' ketika ditemui. FOTO RASUL AZLI SAMAD
NURAINI yang menghidapi kanser tulang atau 'Chordoma' sebak ketika ditemui di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. FOTO RASUL AZLI SAMAD
NURAINI yang menghidapi kanser tulang atau 'Chordoma' sebak ketika ditemui di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Rizanizam Abdul Hamid


“SETIAP malam, saya akan menangis sehingga terlena mengenangkan nasib diri, suami dan masa depan dua anak perempuan yang tidak dapat bersekolah,” kata pengidap barah kanser tulang atau ‘Chordoma’, Nuraini Saidi.

Lebih menyedihkan, Nuraini, 57, kini terpaksa bergantung harap kepada suaminya, Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana mengidap penyakit ‘Raynoud’ sejak 12 tahun lalu.

Penyakit ‘Raynaud’ menyebabkan jari tangan dan kaki pengidap terpaksa dipotong sedikit demi sedikit akibat pembuluh darah bertindak balas secara berlebihan terhadap suhu dingin.

Keperitan hidup wanita berasal dari Riau, Indonesia, dan suaminya semakin diuji apabila kedua-dua anak angkat perempuannya berusia 14 tahun turut mengidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.

“Selain masalah penyakit anak, saya juga disahkan mengidap barah kanser tulang pada 2015 dan menjalani rawatan termasuk tiga kali pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru pada 2016, 2018 dan terbaru pada Jun lalu.

“Barah dihidapi semakin merebak menyebabkan saya kini terpaksa berkerusi roda dan bergantung hidup sepenuhnya kepada suami yang juga OKU untuk menguruskan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Merdeka Jaya Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Menurut Nuraini, apa yang lebih membimbangkannya dan suami adalah masa depan dua anak kembarnya yang tidak dapat bersekolah sejak tiga tahun lalu susulan masalah kewarganegaraan ‘yang belum ditentukan’ pada dokumen diri.

“Anak hanya sempat bersekolah rendah sebelum terpaksa berhenti ketika tahun lima susulan masalah kewarganegaraan dihadapi.

“Walaupun kedua-dua mereka anak angkat, saya yang menjaga mereka sejak kecil selepas suami memeluk Islam pada 1999 dan menganggap mereka seperti anak kandung.

“Saya sentiasa berdoa untuk melihat mereka kembali bersekolah sebelum Allah SWT mengambil nyawa saya,” katanya disusuli tangisan.

Sementara itu, Mohd Ridhuan berkata, tiada apa diharapkan untuk memberi mereka kekuatan hidup melainkan melihat anak-anak mendapat pendidikan sempurna.

“Keutamaan hidup kami bukan lagi mengenai makan, pakai atau perubatan diri yang selama ini kerana banyak dibantu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan bantuan tetap bulanan RM950 sebulan selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami cuma berharap pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendidikan negeri mempercepatkan proses anak-anak mendapat pendidikan kerana hanya ilmu sahajalah yang dapat mengubah hidup mereka,” katanya menahan sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 5:11 PM