Rahayu bersama suaminya yang kini mengidap HIV menubuhkan Sinar Sofia bagi membantu bekas pekerja seks dan yang senasib dengan mereka. Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Rahayu bersama suaminya yang kini mengidap HIV menubuhkan Sinar Sofia bagi membantu bekas pekerja seks dan yang senasib dengan mereka. Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Rizanizam Abdul Hamid


“SELAMA enam tahun saya menjadi pekerja seks, hidup sebagai gelandangan membawa empat anak ‘bekerja’ termasuk mencuri dan memunggah tong sampah mencari sisa makanan,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Kebajikan Sinar Sofia (Sinar Sofia), Rahayu Rahmat.

Wanita berusia 49 tahun berkenaan yang mengidap HIV positif sejak 2004 berkata, ketika itu hanya Tuhan saja mengetahui kesengsaraan terpaksa ditanggung apabila dijangkiti penyakit itu daripada bekas suami yang juga seorang penagih dadah tegar.

“Saya tidak tahu suami penagih dadah tegar sebelum berkahwin pada Mac 1991 sehinggalah sekitar 2004, doktor mengesahkan saya dijangkiti HIV positif yang mungkin berpunca daripada suami.

“Waktu itu, saya sudah mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun. Hidup semakin diuji apabila suami kehabisan harta untuk dijual dan kemudiannya menjual pula saya ke rumah pelacuran untuk melangsaikan hutang dadahnya.

“Saya dipaksa mengambil dadah supaya mampu melayani nafsu sehingga lima lelaki sehari sementara anak-anak menunggu di kaki lima,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, Melaka hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Low Chee Leong yang bertanggungjawab mengaturkan sesi wawancara berkenaan bersama media.

Bercerita lanjut, Rahayu yang kerap kali mengalirkan air mata sepanjang lebih satu jam sesi pendedahannya itu berkata, dia bersyukur dengan apa yang dinikmatinya ketika ini selepas episod hitam yang dilaluinya selama ini.

Dia yang kini aktif dalam melakukan kerja kebajikan kepada bekas pekerja seks dan pengidap HIV berkata, tidak pernah terfikir mampu mempunyai sebuah rumah perlindungan untuk golongan sebegitu sejak lebih lapan tahun lalu.

“Saya tidak pernah terfikir Allah menghadirkan seorang sukarelawan membantu gelandangan untuk menjadi seorang suami hingga mampu mengubah keseluruhan hidup saya walaupun dia sebelum ini adalah seorang penagih dadah tegar dan pengidap HIV positif,” katanya.

Menurutnya, kehadiran suaminya, Rosli Ismail, 52, yang bebas dadah sejak 15 tahun lalu umpama ‘tangan’ dalam hidupnya yang memberinya serta anak tempat bergantung memulakan hidup baru.

“Alhamdulillah, hasil perkongsian sejarah hitam hidup masing-masing, kami berjaya menubuhkan Sinar Sofia di Johor pada 2011 untuk memberi perlindungan kepada golongan senasib kami.

Sementara itu, Rosli yang juga pengerusi badan kebajikan itu berkata, tiada apa yang mustahil dikecapi dalam hidup selagi mempunyai keazaman yang jitu dan bersungguh-sungguh mahu mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

“Saya mengambil keputusan menikahi Rahayu pada Ogos 2010 walaupun tahu semua sejarah hidupnya.

“Saya kagum dengan kemampuannya hidup bergelandangan bersama empat anak yang masih kecil selama enam tahun.

“Walaupun tidak mempunyai anak bersama, kami bersyukur kerana semua lapan anak kami termasuk empat anak saya bersama isteri terdahulu merestui dan membantu usaha kami menubuhkan Sinar Sofia,” katanya.

Menurutnya, persatuan kebajikan itu kini dihuni tujuh wanita terdiri daripada bekas pekerja seks dan pengidap HIV berusia antara 31 hingga 45 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:15 PM