Noorazura Abdul Rahman


ALOR SETAR: Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Begitulah keadaan yang terpaksa ditempuh pasangan suami isteri dari Taman Tunku Yaacob di sini, apabila masing-masing hilang punca pendapatan akibat mengidap penyakit kronik.

Sumardy Mohemed, 42, disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada April lalu selepas isterinya, Mazlina Omar, 41, dikenal pasti mengalami penyakit saraf hingga membataskan pergerakan kedua-dua belah tangannya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Sumardy, dia tidak lagi dapat keluar berniaga di pasar sejak disahkan menghidap kanser berkenaan berikutan keadaannya yang lemah kerana perlu menjalani proses kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Sebelum ini, isteri bekerja sebagai kerani di sebuah bank tetapi dia juga kehilangan kerja berikutan tangannya tidak lagi mampu menulis dan menaip.

“Ketika itu saya bekerja sebagai jurujual tetapi selepas isteri berhenti kerja kami memutuskan untuk berniaga.

“Namun langit tidak sentiasa cerah, kami tidak lagi mampu berniaga selepas saya disahkan sakit dan isteri tidak boleh memandu atau mengangkat beban berat.

“Sebelum ini pendapatan daripada berniaga pakaian dan kad prabayar boleh mencecah sehingga RM1,200 sebulan tetapi sekarang untuk dapat RM500 pun susah,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bagi Mazlina pula, dia dan suami kini banyak bergantung harap kepada ihsan jiran untuk meneruskan hidup mereka enam beranak.

Menurutnya, ada jiran membantu membeli makanan termasuklah mengasuh anak bongsu mereka yang kini berusia empat tahun secara percuma .

“Kami sebenarnya malu terpaksa hidup dengan simpati jiran tetapi apa daya kerana keadaan saya dan suami membataskan ikhtiar kami mencari rezeki.

“Tiga anak lagi masih bersekolah tetapi nasib baik mereka faham dan pandai mencari duit poket sendiri dengan berniaga aiskrim.

“Tugas di rumah juga banyak dibantu anak sulung yang kini berusia 16 tahun,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Sumardy di talian 010-3186615 atau melalui akaun Maybank, 152170157593.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:43 AM