Antara PATI yang ditahan dalam Ops Gasak di kepulauan Nusa 3 di Semporna. FOTO Ihsan ESSCOM.
Antara PATI yang ditahan dalam Ops Gasak di kepulauan Nusa 3 di Semporna. FOTO Ihsan ESSCOM.
Abdul Rahemang Taiming


DUA belas pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi gasak laut diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang mensasarkan kawasan ‘pondohan’ atau penempatan atas air di Semporna semalam.

Operasi yang menumpukan kawasan ‘pondohan’ didirikan secara haram di kepulauan Nusa 3 itu bermula 5.30 hingga 8 pagi.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali dalam kenyataan berkata, dalam operasi itu 25 pendatang asing diperiksa.

Bagaimanapun katanya, selepas tapisan keselamatan dijalankan Jabatan Imigresen 12 ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua PATI itu terdiri daripada 12 lelaki dewasa berusia antara 11 hingga 70 tahun dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka kemudiannya dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum diusir pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Hazani berkata, operasi kali ini bertujuan membersihkan pondohan haram daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk mengesan dan menahan PATI yang disyaki terbabit dengan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bahan letupan.

Selain itu katanya, operasi itu juga bagi mengekang dan mengawal kewujudan pondohan yang semakin berkembang dan berleluasa demi mengekalkan keadaan yang harmoni dan terkawal.

“Hasil daripada maklumat, kita dapati pondohan ini disyaki menjadi tempat persembunyian dan ‘staging point’ penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah penculikan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di sekitar daerah ini.

“Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu mengawal dan mengekang pembinaan pondohan haram ini daripada terus dibina oleh PATI,” katanya.

Sementara itu, operasi turut disertai 104 anggota keselamatan terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 9:09 AM