STUART Ramalingam. FOTO AMIRUDIN SAHIB
STUART Ramalingam. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Lebih kurang dua bulan sebelum Sukan Olimpik Paris membuka tirainya, atlet yang berada dalam Road To Gold (RTG) ketika ini semakin gigih menjalani latihan bagi memastikan impian untuk membawa pulang emas pertama negara dapat direalisasikan.

Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa mengikuti persiapan setiap atlet agar proses latihan tiada sebarang masalah dan mereka semakin gigih berlatih dengan perancangan yang sudah diatur oleh jurulatih masing-masing.

Jelasnya, pihak RTG juga akan cuba sehabis baik membantu atlet yang terbabit dan Stuart yakin semua pihak ketika ini bekerjasama dengan baik untuk melihat atlet mereka dapat menampilkan prestasi cemerlang di Paris nanti.

"Semua atlet RTG kini berada dalam fasa persediaan mereka menuju ke Paris dan sekretariat kami sedang bekerjasama rapat dengan semua jurulatih dan persatuan mengenai rancangan mereka.

"Semua sokongan daripada RTG telah disediakan dan kami percaya kini ia berada di tangan jurulatih dan atlet untuk melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Setakat ini atlet dari sukan badminton paling terbaharu mengesahkan tempat untuk bersaing di temasya terbesar dunia itu iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Terdahulu, beberapa atlet sudah mengesahkan penyertaan lebih awal, antaranya Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bagi acara pecut dan keirin serta Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran).

Mereka akan bersama-sama Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) yang terlebih dahulu melayakkan diri ke Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:57 PM