PASUKAN keselamatan menjalankan pemeriksaan keatas perkampungan atas air menerusi Ops Gasak Laut awal pagi tadi. FOTO IHSAN ESSCOM
PASUKAN keselamatan menjalankan pemeriksaan keatas perkampungan atas air menerusi Ops Gasak Laut awal pagi tadi. FOTO IHSAN ESSCOM
Abdul Rahemang Taiming

EMPAT puluh satu pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi Gasak Laut yang diselaraskan oleh kawasan keselamatan khas pantai timur Sabah (ESSCOM) di tiga perkampungan atas air di Kunak pada pagi hari ini.

Operasi itu membabitkan lokasi di kawasan Kampung Pangkalan (Sumil), Kampung Kunak Jaya Laut dan Kampung Kulluk.

Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang bermula 3 pagi itu bertujuan untuk mengekang kemasukan dan kewujudan PATI yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan Kidnapping For Ransom (KFRG).

Menurutnya, operasi itu juga memberi tumpuan di kawasan panas termasuk perkampungan setinggan atas air yang sentiasa dijadikan tempat persembunyian penjenayah.

“Operasi ini juga bertujuan untuk menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan (show of force) secara koordinasi bagi mewujudkan elemen mencegah di kawasan berkenaan,” katanya.

Hazani berkata, seramai 255 individu diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu seramai 41 orang ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut melaksanakan operasi pemotongan terhadap rumah setinggan yang didapati membuat penyambungan elektrik haram.

Sementara itu, Hazani berkata, ESSCOM akan memperhebatkan lagi operasi gasak pada masa akan datang dalam usaha untuk memburu tali barut KFRG disamping meneutralkan kawasan panas daripada sebarang unsur jenayah.

“Kita khuatiri sekiranya operasi seumpama ini tidak dilaksanakan secara berterusan, kawasan ini akan menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara jika tidak ditangani dan dibendung secara lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:25 PM