MOHAMAD Zulfika melihat bangkai lembu betina yang mati diserang harimau belang di Felda Kota Gelanggi Empat. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHAMAD Zulfika melihat bangkai lembu betina yang mati diserang harimau belang di Felda Kota Gelanggi Empat. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Jerantut: Lima penternak kerugian lebih RM35,000 apabila 15 lembu baka Kedah-Kelantan milik mereka yang diternak dalam kawasan ladang kelapa sawit Felda Kota Gelanggi Tiga dan Empat, dekat sini, dibaham harimau belang sejak dua tahun lalu.

Kes terbaru berlaku kelmarin membabitkan seekor lembu betina milik Mohamad Zulfika Hassan, 29 yang diternak secara bebas dalam kawasan ladang kelapa sawit Kota Gelanggi Empat.

Mohamad Zulfika berkata, serangan harimau mungkin berlaku malam kelmarin berdasarkan kesan cakar jelas pada beberapa bahagian badan lembu berumur dua tahun itu.

Katanya, kematian lembu itu disebabkan kecederaan serius pada bahagian hidung dan muka mungkin selepas digigit oleh pak belang yang cuba membaham ternakan terbabit.

"Cubaan harimau membaham lembu betina berkenaan gagal, mungkin kumpulan lebih 40 lembu yang diternak dalam ladang itu bertindak menyerang pak belang terbabit.

"Saya mengambil keputusan memindahkan lembu terbabit ke kandang terletak berhampiran rumah bagi tujuan merawatnya, namun semalam haiwan terbabit mati," katanya di sini semalam.

Dia berkata, dia kerugian kira-kira RM2,000 angkara serangan pak belang terhadap ternakan miliknya itu.

"Tiga minggu lalu seekor lembu juga mati selepas mengalami kecederaan serius bahagian punggung selepas diserang harimau dan pada Februari lalu seekor lembu saya juga mati," katanya.

Mohamad Zulfika berkata, minggu lalu pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia terserempak dengan harimau yang merayau dalam ladang kelapa sawit.

Haiwan itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Sungai Salan untuk mencari makan.

Mohamad Zulfika berkata, sebelum ini penternak ada membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak terbabit bertindak memasang perangkap namun usaha berkenaan masih belum berhasil.

Menurutnya, selain harimau belang turut menjadi ancaman ialah kumpulan gajah yang memusnahkan pokok kelapa sawit.

"Ancaman lain yang sukar dibendung ialah aktiviti mencuri lembu oleh pihak tidak bertanggungjawab, pelbagai cara digunakan kumpulan terbabit untuk menangkap dan memindahkan haiwan ternakan itu.

"Penternak kini terpaksa melakukan rondaan bagi menyekat kegiatan itu, kegiatan mencuri lembu lebih rancak setiap kali hampir dengan Aidiladha apabila permintaan bertambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:05 PM