SOON Huat (kanan) dan Shevon berdepan tugas getir pada pusingan kedua, esok. FOTO ASWADI ALIAS
SOON Huat (kanan) dan Shevon berdepan tugas getir pada pusingan kedua, esok. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bakal berdepan tugas sukar apabila bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di pusingan kedua Terbuka Singapura, esok.

Soon Huat-Shevon berjaya melepasi ujian di pusingan pertama dengan menewaskan wakil India, Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-18, 21-19 di Stadium Tertutup Singapura, hari ini sementara Si Wei-Ya Qiong pula tidak beraksi di pusingan pertama kerana mendapat 'bye' sekali gus sudah pasti mempunyai kelebihan dari segi masa rehat.

Jika mengikut rekod, wakil negara itu seperti sukar untuk mara ke suku akhir apabila 11 pertemuan antara mereka sebelum ini, semuanya memihak kepada pasangan China itu.

Menyedari perkara itu, Shevon dan pasangannya akan turun bermain sebaik mungkin dan mereka ingin mengekalkan prestasi terbaik sambil tidak membiarkan lawan menguasai permainan sepenuhnya.

"Kalau berdasarkan rekod pertemuan, kami tak pernah menang dengan mereka. Mereka pasangan yang sangat kuat dari segi kelajuan dan juga kekuatan.

"Jadi kami perlu konsisten, bersedia untuk melawan bukan sahaja dari segi mental tetapi kelajuan dan kekuatan. Ia satu cabaran buat kami tetapi selagi kami memasuki gelanggang, kami akan buat yang terbaik, menang atau kalah kami tetap akan menikmati perlawanan," kata Shevon.

Kali terakhir mereka bertemu adalah di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Dubai pada tahun lalu yang menyaksikan Si Wei-Ya Qiong tidak berdepan masalah untuk menang, 21-11, 21-13.

Jika dilihat daripada prestasi dan momentum semasa, Soon Huat-Shevon berada dalam mood yang baik selepas meraih kejuaraan Masters Malaysia minggu lalu selepas menewaskan wakil Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.

Kemenangan itu lebih manis apabila ia sebagai hadiah perkahwinan mereka yang berlangsung pada 4 Mei lalu.

Sebagai rekod, sejak digandingkan pada 2016, Soon Huat-Shevon secara keseluruhannya sudah memenangi lima gelaran juara termasuk Terbuka Scotland pada 2016 selain Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:13 PM