NURUL Alia Natasha (tengah) gembira menunjukkan slip peperiksaan SPM 2023 disaksikan bapanya, Mohamad Asri  (kanan) dan ibunya, Muhida di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut. FOTO Amir Hamzah Nordin
NURUL Alia Natasha (tengah) gembira menunjukkan slip peperiksaan SPM 2023 disaksikan bapanya, Mohamad Asri (kanan) dan ibunya, Muhida di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut. FOTO Amir Hamzah Nordin
Amir Hamzah Nordin

Jerantut: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Gelanggi Dua sanggup menahan diri daripada menonton televisyen sejak tingkatan satu sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi memastikan dia kekal fokus dalam pelajaran.

Usaha Nurul Alia Natasha Mohamad Asri, 18, itu akhirnya berbaloi apabila dia memperolehi 7A dalam keputusan SPM yang diumumkan Isnin lalu.

Dia memperoleh A dalam mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Fizik dan Kimia, manakala Matematik Tambahan dan Biologi mendapat B.

"Saya terpaksa menahan diri untuk memandang kaca televisyen yang menyajikan drama menarik yang kerap ditonton oleh ibu dan adik setiap hari.

"Saya sedar kelemahan diri dalam semua subjek sejak belajar di sekolah rendah dan melangkah ke tingkatan satu, saya tidak pernah menikmati atau memperoleh pencapaian A. Semua subjek lebih banyak C dan D terutamanya Matematik, bahasa Inggeris dan Sains," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia perlu memberikan tumpuan sepenuh terhadap pelajaran serta persiapan peperiksaan SPM sejak awal tingkatan lima.

"Saya tidak menonton TV untuk mengatasi kelemahan saya dalam semua subjek sehinggalah nampak ada perubahan ketika berada di tingkatan tiga. Ia membolehkan saya ditempatkan di kelas aliran Sains semasa di tingkatan empat.

"Ketika waktu rehat di sekolah, rakan sering berbual mengenai pelakon yang menjadi idola termasuk drama yang dibintangi, tetapi saya hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu mengenai perkembangan drama dan filem yang dipertontonkan di TV," katanya.

Katanya, untuk mengurangkan tekanan, dia solat dan berehat di dalam bilik, kemudiannya mengulangkaji pelajaran selepas solat Isyak dan makan malam.

"Selalunya saya mengulang kaji pelajaran sehingga 11 malam dan tidur, bangun awal untuk menunaikan solat tahajud dan baca al-Quran serta mengulangkaji semula sehingga waktu Subuh sebelum ke sekolah.

"Tidak ada tips tertentu, cuma atas kesungguhan kita sendiri, seperti saya yang kuat melawan nafsu menonton televisyen di samping memfokuskan pembelajaran di kelas, menyertai seminar peperiksaan, berbincang dengan rakan serta membaca al-Quran dan kerap bangun awal menunaikan solat sememangnya inilah kunci kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:23 PM