FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hazsyah Abdul Rahman


KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melancarkan Ops Gasak awal pagi hari ini, bagi mengesan dan menghapuskan tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) yang menjadi dalang penculikan di pantai timur Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi itu dijalankan di Kampung Forest dan pusat bandar Sandakan yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sandakan.

Beliau berkata, selain usaha mengesan dan menghapuskan tali barut KFR di lokasi itu, operasi itu dijalankan bagi membasmi PATI di lokasi panas kerana golongan berkenaan menjadi punca berlakunya jenayah penyeludupan dadah, rokok dan barang kawalan di pantai timur Sabah.

“Dalam operasi bermula 3.30 pagi itu, seramai 99 individu diperiksa dan 25 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan meragukan, manakala selebihnya dibebaskan.

“Semua suspek dihantar Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke negara asal,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Hazani berkata, ESSCOM akan memperhebatkan lagi Ops Gasak tahun ini dalam usaha membasmi kehadiran PATI sekali gus memburu saki-baki tali barut KFR disamping meneutralkan kawasan panas daripada sebarang unsur jenayah.

“Beberapa ancaman yang sudah dikenal pasti dan sering berlaku di kawasan panas ini perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan ia bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Selain ESSCOM, Ops Gasak itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am Batalion 20, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 8:57 PM