Redzuan Muharam

Petaling Jaya: "Saya terlalu rindukannya… rindu mendengar nyanyiannya, gelak tawa dan pelukan.

"Kini saya menuntut keadilan buat anak saya kerana tiada ibu bapa patut kehilangan anak (tanpa jejak)," kata Andrea Van Der Zee, 47.

Andrea adalah ibu kepada remaja warga Belanda, Nathen Renze Chester yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor pada April 2022.

Meskipun sudah dua tahun berlalu, ibu dua anak itu belum dapat melupakan apa yang berlaku kepada anaknya yang masih belum ditemui, malah mengakui emosinya belum pulih daripada kehilangan mengejut itu.

Susulan itu, Andrea dan keluarga melantik peguam Azlina Abdul Aziz untuk mewakili mereka menuntut keadilan buat anak bongsunya yang berusia 14 tahun ketika kejadian.

"Kami kehilangan Nathen pada April 2022, ketika bercuti di sebuah resort di Pulau Sibu, Johor dan 6 April tahun itu adalah hari terakhir saya dan anak bersarapan bersama.

"Saya tak dapat bayangkan itu detik terakhir kami bersama dan berharap ada satu lagi peluang untuk memeluknya.

"Apa yang terjadi itu tidak akan berlaku jika pihak terbabit membuat persediaan. Ia membuatkan kami terluka dan paling teruk, ia terjadi kepada saya ibunya, bapa, keluarga, rakan dan kakak yang merinduinya setiap hari.

"Kehidupan tak akan sama tanpa Nathen dan kami perlu hidup dengan realiti itu setiap hari, malah tak ada satu hari saya pun bangun daripada tidur tanpa mengingati Nathen," katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut disertai anak sulungnya, Haley Famke Chesters, 17; ibu saudara, Yvon van der Zee, 44, dan bapa saudara Nathen, Riekele Borger, 41.

Haley Famke (kiri),  Andrea (dua dari kiri ) dan Azlina (tengah) ketika sidang media mengenai kehilangan anaknya 2 tahun lalu di Damansara. FOTO SADIQ SANI
Haley Famke (kiri), Andrea (dua dari kiri ) dan Azlina (tengah) ketika sidang media mengenai kehilangan anaknya 2 tahun lalu di Damansara. FOTO SADIQ SANI

Andrea yang tidak dapat menahan sebak turut menuntut kerajaan Malaysia dan pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membantu mendapatkan keadilan buat anaknya.

"Saya nak tuntut keadilan supaya insiden sama tidak berlaku kepada orang lain dan tiada siapa lalui keperitan seperti apa keluarga kami rasai," katanya.

Sementara itu, Azlina berkata, pihaknya sudah menghantar writ dan surat tuntutan untuk memulakan prosiding saman sivil kepada defendan pada 30 April lalu.

Katanya, mereka masih menunggu jawapan balas daripada pihak defendan yang difahamkan sudah menerima surat berkenaan pada 9 Mei lalu.

"Defendan mempunyai 14 hari untuk membalas tuntutan. Kes ini membabitkan anak muda sepatutnya yang ada masa depan panjang dan cerah, jadi diharap kerajaan dan pihak berkenaan memandang serius hal ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, empat penyelam dilaporkan hilang ketika latihan menyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggol, Perairan Mersing.

Tiga daripada mereka ditemukan selamat iaitu Kristine Grodem, 37, dari Norway, Alexia Molina, 20, (Perancis) dan dan Adrian Chesters, 48, (Britain).

Bagaimanapun, Nathen gagal ditemui sehingga ke hari ini walaupun operasi menyelamat pernah dilakukan untuk menjejakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:11 PM