GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Juwan Riduan


Kudat: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan melancarkan Ops Gasak Laut di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, di sini, bagi merobohkan sejumlah 'pondohan' atau pondok dibina secara haram di laut dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan.

Op Gasak Laut Siri 1/2022 itu akan dilancarkan pada 18 Mei depan berikutan terdapat pondohan tidak berpenghuni yang sudah diberikan notis pengosongan kerana dibimbangi menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Komander Esscom Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, hasil tinjauan menerusi aset udara dan pemeriksaan lapangan mendapati, pondohan berkenaan semakin bertambah sejak akhir-akhir ini

Katanya, hasil maklumat perisikan, pondohan haram berkenaan berpotensi untuk menjadi staging point elemen jenayah membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

"Pondok yang tidak berpenghuni itu dipercayai menjadi tempat persinggahan penjenayah rentas sempadan.

"Justeru itu, operasi Op Gasak Laut ini diadakan bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap pondok haram yang didirikan daripada terus berleluasa selain dieksploitasikan penjenayah rentas sempadan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa akan menguatkuasakan perundangan dengan mengeluarkan notis mengikut peruntukan Seksyen 48(1)(j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindaan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, dalam operasi sama, pihaknya juga memastikan setiap struktur yang dibina mempunyai lesen atau kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Tindakan ini, adalah bagi memastikan setiap struktur yang dibina tidak disalahgunakan oleh penjenayah.

"Kita menasihatkan pemilik struktur supaya mendapatkan kebenaran atau lesen untuk pondok yang dibina supaya tidak dikenakan tindakan," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan pembinaan struktur atau bagang haram supaya menyalurkan kepada Pusat Operasi Esscom untuk tindakan segera.

"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 089-863181 atau menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 011-63311072," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 12:57 PM