PENGARAH Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putrajaya, Che Samsuzuki Che Noh (kiri) meninjau aktiviti keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Belimbing Dalam, Alor Gajah, semalam. FOTO Hassan Omar.
PENGARAH Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putrajaya, Che Samsuzuki Che Noh (kiri) meninjau aktiviti keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Belimbing Dalam, Alor Gajah, semalam. FOTO Hassan Omar.
Rizanizam Abdul Hamid


SESI pembelajaran di dua sekolah di Melaka terpaksa ditangguhkan lagi hari ini susulan terdapat mangsa banjir ditempatkan di kedua-dua lokasi yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di Alor Gajah.

Beliau berkata, penutupan kedua-dua sekolah itu ekoran digunakan sebagai PPS menempatkan mangsa banjir selain jumlah pelajar terjejas adalah tinggi.

“Jumlah murid dan guru terjejas di SK Krubong seramai 1,236 murid dan 71 guru manakala di SK Belimbing Dalam pula 484 murid dan 40 guru.

“Bagaimanapun, guru yang tidak terbabit dengan banjir diminta hadir seperti biasa,” katanya ketika dihubungi menerusi WhatsApp, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, setakat 8 malam tadi, seramai 343 mangsa daripada 87 keluarga masih ditempatkan di SK Belimbing Dalam.

Beliau berkata, di SK Krubong dalam daerah Melaka Tengah pula, 221 keluarga daripada 55 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

“Secara keseluruhan, enam PPS masih beroperasi menempatkan 934 mangsa daripada 212 keluarga.

“Bagi daerah Alor Gajah, jumlah mangsa 524 orang daripada 111 buah keluarga yang ditempatkan di lima PPS selepas enam daripadanya ditutup secara berperingkat.

“Manakala bagi daerah Melaka Tengah, dua PPS masih dibuka menempatkan 410 mangsa daripada 101 keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 12:54 AM