SK Belimbing Dalam masih dihuni 33 keluarga yang terkesan akibat banjir. FOTO RASUL AZLI SAMAD
SK Belimbing Dalam masih dihuni 33 keluarga yang terkesan akibat banjir. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Rizanizam Abdul Hamid


HANYA tinggal 153 mangsa banjir di negeri ini masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang semakin surut.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, setakat jam 8 pagi ini, dua PPS masih beroperasi adalah di daerah Alor Gajah manakala semua PPS di Melaka Tengah sudah ditutup.

“Setakat jam 8 pagi ini, PPS di Balai Raya Bukit Balai menempatkan 15 mangsa daripada tiga keluarga manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam pula dihuni 33 keluarga membabitkan 138 mangsa.

“Dua PPS di Melaka Tengah dan sembilan di Alor Gajah juga sudah ditutup,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Banjir kilat melanda negeri ini sejak Ahad lalu mengakibatkan penduduk di dua daripada tiga daerah terjejas.

Jumlah tertinggi mangsa direkodkan adalah seramai 1,391 orang daripada 318 keluarga, Isnin lalu, sebelum jumlah berkenaan semakin berkurangan sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, bagi daerah Alor Gajah, antara kawasan terjejas adalah di Kampung Gadek, Ganun, Paya Datok, Padang Sebang, Pegoh, Bukit Tambun, Kampung Pulau, Bukit Balai, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 9:42 AM