Rizanizam Abdul Hamid


JUMLAH mangsa banjir di dua daerah di Melaka meningkat kepada 1,096 orang berbanding 745 orang sebelum ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata setakat 5 petang hari ini, daerah Alor Gajah merekodkan 1,021 mangsa daripada 229 keluarga manakala daerah Melaka Tengah 75 mangsa daripada 18 keluarga.

“Mangsa dipindahkan meningkat sebanyak 351 orang menjadikan keseluruhan 1,096 orang berbanding 745 orang sebelum ini.

“Bagaimanapun, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masih sama iaitu 10 di daerah Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap keperluan penduduk yang memohon rumah peduli rakyat atau projek perumahan rakyat (PPR) bagi mengelak mereka daripada terus menjadi mangsa bencana banjir di negeri ini.

MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. FOTO RASUL AZLI SAMAD
MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. FOTO RASUL AZLI SAMAD

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal berharap penduduk dapat memberikan sedikit masa sebelum hasrat mereka dapat direalisasikan.

“Memang, kita tahu mereka (mangsa banjir) kalau tak pindah, tiap-tiap tahunlah akan berdepan masalah banjir.

“Kita kena lihat pada kekosongan unit kediaman (PPR) yang diperuntukkan. Semua PPR sedia ada sudah penuh, jadi kita harap penduduk yang memohon dapat bersabar," katanya ketika ditemui di Kampung Beringin, Alor Gajah, hari ini.

Terdahulu NSTP, hari ini melaporkan harapan beberapa penduduk di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, supaya kerajaan negeri dapat mempercepatkan proses pemindahan mereka ke rumah PPR yang sudah lama tertangguh.

Mereka berharap impian itu dapat ditunaikan, sekali gus menamatkan penderitaan berdepan kejadian banjir setiap tahun apabila rumah didiami di tanah rizab kereta api itu ditenggelami air antara 1.5 hingga tiga meter setiap kali hujan lebat berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:26 PM