Mohamad Hussin


“SAYA bertawakal kepada Allah SWT semoga dipermudahkan urusan ibadah haji di sana.

“Perasaan saya gembira dan sedih kerana adik yang sepatutnya menjadi pengiring tidak dapat ikut,” kata Maraini Mat Piah, 55, orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang terpilih menjadi tetamu Allah.

Maraini antara 483 bakal jemaah haji dijadual berlepas ke Madinah menerusi penerbangan KT02 (XY5654) 2.30 petang ini dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Menurutnya, dia menerima tawaran mengerjakan musim haji 1440 Hijrah daripada Tabung Haji (TH) pada Disember tahun lalu.

“Tiga tahun lalu, saya ada menerima tawaran sama tetapi menolaknya kerana tiada pengiring, manakala suami baru mendaftar haji.

“Namun, kali ini saya berazam akan pergi walaupun suami dan adik tidak dapat ikut ke Tanah Suci,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH, di Sepang, hari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana Allah SWT menemukannya dengan jemaah wanita yang kebetulan sedang membuat pemeriksaan kesihatan di hospital, baru-baru ini.

“Kebetulan saya dan dia pergi bersendirian kerana pengiring kami sama-sama tidak dapat ikut.

“Kawan baru saya inilah yang akan bersama-sama dengan saya sepanjang kami berada di sana.

“Adik saya, Rozian, tidak dapat ikut kerana usianya belum genap 45 tahun untuk menjadi pengiring iaitu pada Disember ini menyebabkan saya berazam untuk pergi sendirian.

“Saya bimbang sekiranya menolak tawaran ini, bila akan ada peluang lagi untuk ke sana,” katanya yang belum dikurniakan zuriat.

Maraini Mat Piah, 55, (tengah) orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang terpilih menjadi tetamu Allah. FOTO Mohamad Hussin
Maraini Mat Piah, 55, (tengah) orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang terpilih menjadi tetamu Allah. FOTO Mohamad Hussin

Maraini yang baru berhenti kerja sebagai operator telefon di syarikat perabot terkemuka selama 25 tahun berkata, dia mula menyimpan dengan TH menerusi potongan gaji sebanyak RM20 sebulan sejak 1996.

Sementara itu, Rozian, 45, berkata, kakaknya mengalami cacat penglihatan selepas diserang demam panas pada usia 18 tahun.

“Walaupun dia tidak nampak, namun hatinya sangat terang. Saya turut sedih kerana tidak dapat mengikut kakak saya menunaikan haji.

“Insya-Allah, saya percaya petugas TH dan jemaah lain akan sentiasa menjaga kakak sepanjang melakukan ibadah haji,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 1:05 PM