Mohamad Syafiq (duduk kanan) bersama Nur Amalina dan Mohamad Asyraf membaca Harian Metro sebelum berlepas ke Tanah Suci. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Syafiq (duduk kanan) bersama Nur Amalina dan Mohamad Asyraf membaca Harian Metro sebelum berlepas ke Tanah Suci. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


“ALHAMDULILLAH, saya terima dua berita gembira iaitu tawaran menunaikan haji dan isteri saya disahkan mengandung tiga bulan anak pertama.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika itu apabila Allah SWT memberikan saya rezeki serentak,” kata Mohamad Syafiq Samad, 28.

Dia bersama dua adiknya Nur Amalina, 25, dan Mohamad Asyraf, 22, dari Kluang, Johor, bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Selain tiga beradik itu, sepupu mereka Muhammad Iddin Saufi Abdul Wahid, 25, turut terpilih menunaikan haji tahun ini.

Mohamad Syafiq berkata, dia bersyukur dan sangat teruja dengan dua berita gembira yang diterima itu.

“Sepatutnya isteri saya, Nor Hafifah Safeeya Shariff@Haslan, 28, juga terpilih menjadi tetamu Allah SWT namun selepas mengetahui dia berbadan dua kami terpaksa batalkan niatnya.

“Saya bersyukur kerana Allah SWT memberikan saya rezeki ke Tanah Suci dan anak, cuma sedih kerana kedua ibu bapa kami tidak dapat ikut sekali.

“Memang sebak hendak meninggalkan isteri saat dia sedang mengandung, namun peluang mengadap Ilahi belum tentu dapat ke sana lagi,” katanya ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH) di Sepang hari ini.

Mohamad Syafiq (kiri) bersama Nur Amalina, Mohamad Asyraf dan Muhammad Iddin sebelum berlepas ke Tanah Suci. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Syafiq (kiri) bersama Nur Amalina, Mohamad Asyraf dan Muhammad Iddin sebelum berlepas ke Tanah Suci. FOTO Mohamad Hussin

Mereka antara 483 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT18 (XY5670) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, 2.30 petang ini dan dijangka tiba 6 petang (waktu Arab Saudi).

Sementara itu, Nur Amalina yang juga penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ibu bapa mereka mendaftar dengan TH sejak 2008.

“Kami mula menjalani kursus haji sejak tahun lalu dengan yang terakhir ialah Kursus Perdana Haji di Johor Bahru.

“Ilmu pengetahuan dan agama itu sangat penting kerana ia membantu kita dalam menjalani rukun haji.

“Insya-Allah, kami adik beradik akan membantu jemaah lain terutama warga emas yang uzur melakukan amal ibadat sepanjang di sana,” katanya.

Muhammad Iddin Saufi pula berkata, dia tidak bimbang kerana ketiga-tiga sepupunya turut pergi bersamanya.

“Pada mulanya, mak dan ayah saya khuatir jika saya pergi sendiri memandangkan saya adalah anak tunggal.

“Namun selepas mengetahui sepupu saya turut menerima tawaran haji mereka tidak risau dan sedih,” katanya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 11:25 AM