Abd Aziz dan Esah cekal menunaikan ibadat haji biarpun berdepan pelbagai kesukaran. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Abd Aziz dan Esah cekal menunaikan ibadat haji biarpun berdepan pelbagai kesukaran. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein

LUAHAN kata mereka bersahaja, spontan dan penuh kejujuran tapi banyak pengisian bermakna serta memberi tamparan kepada insan normal yang tidak merancang menunaikan ibadat haji, biarpun berkemampuan.

Itu yang terakam ketika kumpulan wartawan dari Malaysia menemubual suami isteri jemaah haji cacat penglihatan Abd Aziz Yusof, 73 dan Esah Long, 72, di bangunan penginapan mereka Maktab 77, Hotel Mwasem Al-Sud, Makkah.

"Seorang kawan pernah cakap, saya tak wajib pergi haji (sebab cacat penglihatan). Saya kata, wajib tak wajib saya tak kira, bila duit dah cukup, walau macam mana pun saya tetap nak pergi.

"Kalau mati, duit saya akan tinggalkan. Bagi saya, kalau duit dah cukup kita wajib datang (menunaikan haji)," kata Esah.

Abd Aziz pula berkata, dia amat bersyukur kerana di sebalik kekurangan diri dan kesukaran untuk membuat persediaan, Allah SWT memakbulkan hajatnya untuk ke Tanah Suci selepas menyimpan impian sejak sekian lama.

"Persiapan kami terhad sebab hanya bergantung kepada bahan bacaan braille. Tak banyak kitab dan doa (untuk ibadat haji) dalam huruf braille. Maklumlah, bahan bercetak huruf braille mahal," katanya.

Abd Aziz berkata, pada masa ini bahan bacaan agama untuk golongan cacat penglihatan hanyalah al-Quran braille dan itulah satu-satunya rujukan dia dan isteri melalui kelas mingguan di pejabat Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, kita bersyukur kepada Allah sebab dapat juga belajar. Pegangan saya, sesiapa yang ada niat untuk buat haji, kena usaha. Banyak berdoa supaya Allah bagi cara untuk kita dapat buat haji," katanya.

Abd Aziz dan Esah yang menetap di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur berkahwin pada 1974 dan dikurniakan seorang anak perempuan normal yang kini berusia 42 tahun serta sudah berkeluarga.

Pasangan pesara ini pernah bekerja di kilang di Petaling Jaya dan gaji yang diperoleh disimpan sedikit demi sedikit di dalam akaun Tabung Haji (TH) sebelum mendaftar untuk ke Tanah Suci pada 2009.

Selepas menerima surat tawaran daripada TH pada Disember tahun lalu, Allah memberi laluan kepada mereka untuk ke sini apabila seorang balu, Nor Azian Mansur 58, yang dikenali ketika berkursus haji, menawarkan diri menjadi pengiring.

"Apa-apapun Yan (Azian) banyak membantu. Hanya selepas dia setuju jadi pengiring saya, baru TH benarkan saya datang ke sini," kata Esah.

Ditanya perasaannya apabila berada di dalam Masjidilharam, kata Esah, biarpun tidak dapat melihat Kaabah, ada kelainan dirasakannya.

"Sebelum buta pada usia tujuh tahun, saya pernah lihat gambar Kaabah. Itulah yang saya bayangkan. Syukur dan sayu sangat kerana tak sangka Allah izinkan saya ke sini," katanya.

Bagi Abd Aziz pula, dia hilang penglihatan ketika berusia tiga tahun akibat demam panas dan tiada apa-apa gambaran Kaabah atau Masjidilharam di dalam mindanya.

"Tapi semasa orang tolak saya atas kerusi roda ketika tawaf, memang ada kelainan. Biarpun tak dapat tengok apa-apa, tetap seronok dan terharu sangat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Maktab 77 Azhar Noraffendi berkata, pihaknya akan meletakkan pasangan itu di bawah program khas warga emas yang membolehkan mereka menerima perhatian khas daripada petugas TH semasa operasi Masyair kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 1:53 PM