Sebahagian jemaah haji Malaysia yang  ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1438H/2017M di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Sebahagian jemaah haji Malaysia yang ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1438H/2017M di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Amirul Husaini dan isterinya, Nik Zalbina sebelum berangkat ke KLIA.
Amirul Husaini dan isterinya, Nik Zalbina sebelum berangkat ke KLIA.
Syazwan Msar

Kelana Jaya: Kecacatan pasangan suami isteri ini jika dilihat mungkin menimbulkan persoalan sejauh mana kebolehan mereka menunaikan rukun Islam kelima apabila si suami tidak dapat melihat manakala isteri cacat kedua-dua kakinya.

Namun segala kekurangan itu sebenarnya memberikan motivasi, malah menjadi pemangkin kepada Amirul Husaini Kamaruddin, 53, bersama isterinya, Nik Zalbina Nik Mat, 51, supaya lebih cekal dan tabah dalam menghadapi rintangan atau cabaran sepanjang menunaikan haji nanti.

Amirul Husaini yang mengalami masalah penglihatan sejak 10 tahun lalu berkata, isterinya menjadi mata dalam memimpinnya untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna tanpa masalah.

Menurutnya, dia pula akan membantu Nik Zalbina bergerak berikutan isterinya itu cacat kedua-dua kaki, sekali gus pergerakan sedikit terbatas.

“Kami saling melengkapi dalam memastikan setiap perjalanan menunaikan haji nanti tiada sebarang masalah, malah latihan merangkumi fizikal dan mental juga dilakukan sebelum hari bersejarah ini.

“Selain itu, kami juga percaya kakitangan Tabung Haji sentiasa ada untuk memberikan bantuan kepada jemaah yang mengalami kesulitan,” katanya di Kompleks Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Dia yang juga bekas kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tabungan selama lebih lima tahun membolehkannya bersama isteri menunaikan haji.

“Pandangan orang lain melihat kami mungkin beranggapan sukar melaksanakan haji dengan sempurna dalam keadaan serba kekurangan ditambah pula di Tanah Suci nanti begitu ramai umat Islam berkumpul.

“Sebenarnya niat adalah penting selain azam yang kuat pasti sesuatu perkara sukar dapat diselesaikan dengan sempurna, malah ia tidak mustahil jika segalanya kita serahkan kepada Allah,” katanya.

Sementara itu, Nik Zalbina berkata, impiannya sejak dahulu untuk menunaikan haji akhirnya terlaksana walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya sudah melakukan persiapan rapi iaitu melakukan pelbagai latihan sejak enam bulan lalu apabila menerima surat tawaran daripada Tabung Haji.

“Walaupun pergerakan sedikit terbatas namun saya percaya sebaik tiba di sana, segala kekurangan bukan penghalang untuk melakukan haji,” kata ibu kepada tiga anak berusia 13 hingga 20 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 7:00 AM