MAZITA (kanan) membantu mengiringi Maraini. FOTO Yusri Abdul Malek
MAZITA (kanan) membantu mengiringi Maraini. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


MEREKA bukan bersaudara apatah lagi adik beradik, namun dengan niat untuk membantu Mazita Abdul Ghaffar, 54, sanggup menjadi peneman kepada Maraini Mat Piah, 55, seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan ketika melakukan ibadah serta aktiviti harian di Makkah.

Perkenalan mereka bermula ketika masing-masing mahu melakukan saringan kesihatan sebelum ke Tanah Suci di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor, awal tahun lalu.

Mazita berkata, ketika saringan kesihatan itu, dia yang melihat Maraini seorang diri kemudian membantunya membawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya tengok tidak ada orang yang membantu dia dan datang pula berseorangan. Saya yang kebetulan turut sama untuk buat pemeriksaan kemudian membantunya. Sejak itu kami menjadi rakan.

“Saya sepatutnya menjadi pengiring kepada ibu yang sepatut turut sama ke Tanah Suci tahun ini tapi disebabkan masalah kesihatan, ibu tidak dapat bersama, " katanya ketika ditemui baru-baru ini di Maktab Abraj Al Janadriyah di Makkah.

Katanya, Maraini kemudian minta dia menjadi pengiring selepas adiknya tidak dapat pergi bersama.

“Maraini memberi nama saya kepada Tabung Haji sebagai pengiring sepanjang mengerjakan haji.

“Saya setuju lagi pun saya pergi seorang diri. Saya sepatutnya pimpin ibu di Tanah Suci tapi tiada rezeki, saya pimpin Maraini," katanya.

Mazita berkata, sejak menjadi pengiring ini, dalam semua urusan ia menjadi mudah.

“Anak saya pernah kata 'ibu jangan ambik kesempatan' apabila saya kata urusan di Tanah Suci lancar apabila jadi pengiring Maraini,” katanya yang juga seorang suri rumah.

Katanya, sejak berada di Madinah dan Makkah, mereka mendapat rakan sebilik yang baik serta saling membantu.

Bagi Maraini pula dia bersyukur kerana Mazita sanggup membantunya.

“Mula-mula dapat tawaran mengerjakan haji terfikir sama ada saya boleh melakukannya atau tidak.

“Tapi bila ada Mazita dan rakan sebilik lain, ia jadi mudah," katanya.

Maraini berkata, dia mengalami masalah penglihatan ketika berusia 18 tahun akibat demam panas.

“Dulu saya pernah tengok Kaabah dalam televisyen dan saya boleh gambarkan dan berasa seronok bila berada di sini,” katanya yang pernah menjadi telefonis di sebuah syarikat perabot di Petaling Jaya sebelum mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), akhir bulan lalu.

Katanya, dia juga berharap keluarga di tanah air tidak bimbang kerana dia bersama rakan sebilik yang baik.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 4:13 PM