Tuan Asri Tuan Hussein

BERKELANA di Kota Suci Makkah untuk menyempurnakan ibadat haji menuntut setiap jemaah menjaga tingkah laku dan ‘belajar menjadi orang baik.’

Biarpun hakikatnya kita insan berdosa dan tidak sebaik mana, paksalah diri untuk menjadi orang baik kerana itulah sebab kita ke sini.

Mudah-mudahan jihad kita untuk menjadi orang baik diperkenan Allah, lantas ia berkekalan bukan saja hingga kita pulang ke tanah air, tapi hingga ke akhir hayat.

Namun, cabaran setiap jemaah pastinya berbeza bergantung kepada watak sebenar diri masing-masing. Kalau dia memangnya insan berakhlak mulia, mudahlah laluannya dan begitulah sebaliknya.

Rumusan itu saya buat selepas kagum melihat komitmen jemaah haji yang sanggup menyusahkan diri untuk orang lain dan mengharap balasan baik daripada Allah semata-mata.

Selepas didekati, ada satu persamaan pada mereka iaitu watak sebenar mereka. Ketika di Malaysia lagi mereka memang suka menolong orang. Jadi, di Makkah, mereka tidak perlu memaksa diri untuk menjadi orang baik.

Kelompok pertama yang saya dekati ialah jemaah yang secara sukarela menjadi Sahabat Maktab Tabung Haji (SMTH) bagi membantu melancarkan pergerakan jemaah di bangunan penginapan masing-masing dan ketika operasi Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Apabila ditanya mengapa mereka memohon menjadi SMTH, ramai yang menjawab sudah biasa menolong orang, sama ada mereka anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), doktor atau jururawat ataupun bekas polis dan tentera.

Kelompok kedua insan berhati mulia pula saya temui di Maktab 75 yang menganjurkan aktiviti mengedarkan pek makanan percuma kepada jemaah yang pergi balik di laluan menuju ke Masjidilharam.

Jumlah mereka tak sampai 20 orang, tapi mereka sama-sama mengumpul wang dan menerima juga derma dari kenalan di Malaysia untuk melaksanakan aktiviti itu. Ditanya apa yang mendorong mereka, jawapannya sama iaitu ‘sudah biasa’ buat aktiviti itu di Malaysia. “Kalau dah biasa buat di Malaysia, pastinya lebih baik lagi kalau kita dapat buat di Makkah,” kata seorang daripada mereka.

Akhir sekali, saya bukan sekadar kagum tapi terpaksa ‘bekerja keras’ menahan sebak ketika menemu bual Nor Azian Mansur, 48, yang datang ke Tanah Suci atas tiket sebagai pengiring kepada pasangan jemaah cacat penglihatan.

Wanita kematian suami dan tiada anak itu sanggup bersusah payah menjadi ‘mata’ dan ‘pembantu peribadi’ kepada Abd Aziz Yusof, 73, dan Esah Long, 72.

Biarpun tiada hubungan keluarga, Nor Azian menganggap Esah yang dikenalinya ketika sama-sama berkursus haji dua tahun lalu sebagai ibu angkat dan tak mampu menolak apabila diminta menjadi pengiring.

“Bila makcik Esah tanya sanggup ke jadi pengiring dia saya terus setuju. Alhamdulillah kerana mereka jugalah saya sampai ke sini, sebab saya sebelum itu belum menerima surat tawaran daripada TH,” katanya.

Pengajarannya, kalau kita orang baik di Malaysia maka mudah kita menjadi orang baik di Makkah. Saya tak kata, kalau kita jahat atau nakal di Malaysia akan begitu juga perangai kita di Makkah.

Cuma, saya rasa kita kena bekerja keras untuk menjelmakan watak baik kita. Allah tahu hati budi kita.

Kata ustaz satu hadis qudsi ada menceritakan jika kita ingin pergi kepada Allah dengan merangkak, Allah akan datang berjalan kepada kita. Jika kita berjalan pula, Allah akan datang kepada kita dengan berlari.

Justeru, mari sama-sama muhasabah diri dan mula bergerak ke jalan Allah, biarpun dengan hanya merangkak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 6:00 AM