Ismail Sabri ketika sidang media di Bangunan Parlimen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ismail Sabri ketika sidang media di Bangunan Parlimen. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


“KALAU tak suka Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) kembali, kita ada perlembagaan, ada pemilihan parti,” kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Ahmad Zahid menamatkan rehatnya sebagai Presiden UMNO, boleh menentukan kedudukannya pada pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun katanya, ketika ini semua ahli dan pemimpin parti itu perlu fokus dan kekal bersatu pada isu yang lebih besar berbanding kedudukan Presiden UMNO itu.

“UMNO perlu memberi tumpuan utama memperkukuh kekuatan parti, dalam keadaan beberapa parti kerajaan sedang berada dalam situasi kucar-kacir.

“Soal utama sekarang bukan wajar atau tak Presiden kembali atau siapa patut jadi Presiden kerana ini sudah diputuskan ketika pemilihan UMNO lalu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas ketika ditanya sama ada keputusan Ahmad Zahid itu sesuai pada waktunya memandangkan UMNO kini semakin kukuh di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pada 30 Jun tahun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah serta dua yang lain.

Ahmad Zahid menang selepas memperoleh 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya, Khairy yang memperoleh 51 undi dan Tengku Razaleigh yang meraih 23 undi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri membayangkan wujud kumpulan dalam UMNO yang tidak senang dengan kembalinya Ahmad Zahid menerajui parti.

“Ini adalah masa yang sesuai bagi mereka yang bersetuju untuk beliau kembali dan bukan waktu baik untuk mereka yang tidak bersetuju beliau kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:22 PM