AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Status Twitter beliau menolak tawaran jawatan berkenaan (gambar kecil).
AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Status Twitter beliau menolak tawaran jawatan berkenaan (gambar kecil).
Rizanizam Abdul Hamid


SELEPAS tewas dalam persaingan merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti, Khairy Jamaluddin menolak tawaran jawatan Setiausaha Agung parti itu daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi status Twitternya hari ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu merakamkan terima kasih kepada Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO yang baharu atas tawaran itu.

“Terima kasih DS @Zahid_Hamidi kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi. Saya memberitahu beliau, saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti.

“Saya mahu memberi fokus kepada tugas sebagai MP (Ahli Parlimen Rembau). Sedia bantu dan tetap bersama UMNO,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Dalam pemilihan UMNO semalam, Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO kelapan bagi tempoh 2018-2021.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebelum ini menjalankan tugas pemangku Presiden UMNO.

Kemenangan Ahmad Zahid menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar iaitu veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang dan Khairy.

Terdahulu, Khairy hari ini melalui status Twitternya menulis, walaupun menerima kekalahannya itu dengan hati yang terbuka, namun beliau melihat majoriti ahli UMNO mahukan perubahan, tetapi dikawal 'orang lama' atau warlord parti yang enggan berubah.

“Walaupun saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka, saya mahu UMNO berubah. Buang mentaliti feudal.

“Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri. Majoriti ahli nak berubah, tetapi warlords (hulubalang parti) masih pekak terhadap suara rakyat,” katanya.

Katanya, statistik undi popular turut menunjukkan majoriti ahli mahu perubahan.

“Sistem undi bahagian menyebelahi warlords yang mempunyai cengkaman kuat atas bahagian mereka. Ramai diarah, diugut, dipaksa ikut pilihan warlords,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 6:01 PM