GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Garret Dawum


BAU busuk di sebuah bangunan komersial empat tingkat di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), Padawan sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat lelaki ditemui di sebuah bilik di bangunan itu kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, mayat lelaki berusia 56 tahun itu ditemui pemilik premis ketika memeriksa bilik terbabit yang disewa mangsa.

“Ketika datang ke bilik sewa itu, pemilik terhidu bau busuk dan ternampak mayat yang juga penyewa selepas membuka pintu.

“Pemilik itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merbin berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mayat lelaki dalam keadaan berbogel sudah membengkak serta berbau busuk.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada unsur jenayah dan tidak terdapat kesan luka, calar dan lebam pada mayat.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan sebaik saja ahli keluarga atau waris mangsa berjaya dikesan.

“Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Negeri Sembilan dan pemilik premis memaklumkan mangsa menyewa seorang diri sejak tiga bulan lalu malah membantunya mengemas bilik sewa lain di premis terbabit tanpa upah.

“Saksi memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat 2 petang 5 Jun lalu selepas meminta bantuannya untuk memimpin masuk ke bilik sewa selepas mandi kerana tidak dapat berjalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:25 PM