Merbin (tengah) menunjukkan wang dirampas daripada suspek. FOTO Awang Azmil Awang Ahmad.
Merbin (tengah) menunjukkan wang dirampas daripada suspek. FOTO Awang Azmil Awang Ahmad.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS menahan dua lelaki dan tiga wanita warga asing berusia 27 hingga 50 tahun kerana terbabit dengan kegiatan penipuan di Padawan, 5 petang Rabu lalu.

Sindiket penipuan antarabangsa itu ditahan di sebuah rumah di Taman Stampin Tengah di Kuching.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, sindiket itu tumpas susulan laporan polis dibuat mangsa yang juga wanita berusia 58 tahun, Isnin lalu.

“Mangsa didekati suspek di pasar pekan Siburan sebelum mendakwa mempunyai kepakaran memulihkan musibah yang bakal berlaku.

“Suspek mendakwa anak lelaki mangsa akan ditimpa kemalangan menyebabkan suri rumah itu ketakutan.

“Mangsa setuju dengan tawaran suspek untuk memulihkan musibah itu dengan syarat dia hendaklah menyerahkan wang tunai dan barangan kemas bagi tujuan perubatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, hari ini.

Katanya, mangsa menyerahkan cincin, loket, rantai dan gelang emas serta wang berjumlah keseluruhan lebih RM13,000.

Merbin berkata, suspek kemudiannya menyerahkan bungkusan yang dikatakan mempunyai barangan dan wang mangsa namun meminta mangsa membukanya tiga hari kemudian.

“Rabu lalu, mangsa membuka bungkusan itu namun terkejut kerana yang ada hanya botol air dan kepingan surat khabar.

“Mangsa melaporkan penipuan itu 12 tengah hari Rabu lalu,” katanya.

Tambahnya, hasil risikan, suspek dapat ditahan empat jam kemudian.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai wang tunai asing, barang kemas dan telefon bimbit.

“Suspek yang berasal dari Indonesia dan China itu sering keluar masuk ke negara ini sejak dua tahun lalu.

“Suspek direman hingga 18 Disember ini, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 11:42 AM