Lebih kurang sekilogram sarang burung walet serta peralatan mencuri yang dirampas daripada suspek pertama. FOTO MELVIN JONI
Lebih kurang sekilogram sarang burung walet serta peralatan mencuri yang dirampas daripada suspek pertama. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


DUA penjenayah tegar ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah burung walet yang terletak di Kilometer 25, Jalan Bako, di sini.

Kegiatan kedua-dua lelaki warga tempatan itu disedari oleh pemilik rumah burung walet berkenaan, yang menyedari perusahaannya itu diceroboh apabila melihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) sekitar jam 5 pagi Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, pemilik rumah burung walet itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan pada masa sama menghubungi polis untuk bantuan.

"Dengan tindakan pantas daripada unit peronda (MPV), seorang suspek lingkungan 20-an berjaya diberkas, manakala rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, rampasan yang dibuat daripada suspek yang ditangkap termasuk sekilogram sarang burung walet serta pelbagai peralatan untuk mencuri iaitu tali, pisau, pemutar skru, lampu suluh, pemotong wayar serta seutas jam tangan.

Katanya, suspek didapati positif dadah jenis syabu turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu satu berkaitan kecurian dan dua berkaitan narkotik.

Merbin berkata, ketika ditangkap, suspek mengalami sedikit kecederaan akibat terjun dari bangunan rumah burung itu, namun serius dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, suspek direman lima hari sehingga 4 Julai.

Manakala, Merbin berkata, tangkapan suspek kedua yang lingkungan 30-an dibuat pagi semalam, di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Bako, di sini.

"Semakan rekod lampau dapati tangkapan suspek kedua mempunyai tujuh rekod jenayah dan kesemuanya membabitkan jenayah harta benda," katanya.

Beliau menambah saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan akan direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini.

Merbin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 14 tahun atau denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:12 PM