GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

WARGA emas kerugian RM17,000 selepas diperdaya orang tidak dikenali yang mengaku dirinya sebagai cucu mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 73 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali pada 1.35 tengah hari, 2 Mei lalu.

“Suspek dikatakan menyamar sebagai cucu mangsa dan memberitahu ingin meminjam wang untuk dijadikan modal berniaga.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Selang beberapa jam kemudian, suspek sekali lagi meminta wang RM16,000 yang dituruti mangsa tanpa banyak bersoal jawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang menetap di Cameron Highlands hanya menyedari dia ditipu pada 29 Mei lalu selepas dia menghubungi cucu terbabit bagi bertanyakan mengenai pinjaman wang yang dibuat.

“Cucu mangsa menafikan ada meminjam wang dan mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 8:01 PM