FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Shahrinnahar Latib


PENIAGA di Cameron Highlands menanggung kerugian RM12,650 selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menjual tong gas tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 27 Mei lalu mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa dari KPDNHEP Raub dan meminta mangsa membayar kompaun yang dikenakan ke atas dirinya.

"Kompaun itu berjumlah RM1,000 namun selepas mangsa merayu, suspek bersetuju mengurangkannya dan meminta peniaga itu hanya membayar berjumlah RM400.

"Mangsa kemudian membuat pemindahan wang di sebuah bank di Kampung Raja ke dalam satu akaun peribadi yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, keesokan harinya, mangsa dihubungi seorang lagi suspek lain yang mendakwa dari KPDNHEP Raub dan menawarkan tong gas kosong yang dilelong dengan harga RM49 satu tong.

"Mangsa bersetuju membeli 250 tong gas berharga RM12,250 dan membuat lima kali transaksi kepada satu akaun bank yang diberikan suspek," katanya.

Beliau berkata, mangsa mensyaki ditipu apabila tong gas tidak dihantar pada 2 Jun lalu seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 12:06 PM