Shahrinnahar Latib


SEORANG pekebun di Cameron Highlands berputih mata selepas kerugian RM20,000 apabila ditipu lelaki yang menyamar pegawai polis dengan mendakwa anaknya ditahan, semalam.

Mangsa wanita berusia 74 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kuala Lumpur, pada 11.20 pagi hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu anak mangsa ditahan polis kerana memiliki dadah dan warga emas itu perlu membayar RM100,000 untuk melepaskannya.

“Namun, wanita warga emas itu memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu dan hanya boleh membayar sebanyak RM20,000 sahaja.

“Pada hari sama, mangsa memindahkan wang RM20,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu mangsa diminta menunggu panggilan daripada suspek, namun selepas sejam tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek menyebabkannya menyedari ditipu.

“Mangsa kemudian menghubungi anaknya dan memberitahu tidak ditangkap mana-mana pihak polis berkait kes dadah.

“Mangsa membuat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan

“Saya mengingatkan orang ramai supaya mengabaikan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali atau mencurigakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 1:28 PM