DOAN Thi Huong dikawal anggota polis selepas menghadiri perbicaraan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, 1 April lalu. FOTO Saddam Yusoff
DOAN Thi Huong dikawal anggota polis selepas menghadiri perbicaraan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, 1 April lalu. FOTO Saddam Yusoff
Siti A’isyah Sukaimi


WARGA Vietnam, Doan Thi Huong yang sebelum ini dituduh kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, akan berlepas ke Vietnam menerusi pesawat Vietnam Airlines 7.15 malam, hari ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Salim Bashir iaitu seorang daripada peguam yang mewakili Doan bagi kes berkenaan.

“Ketika ini, dia ditempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya selepas dibebaskan dari Penjara Kajang dan akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang ini.

“Doan akan berada di KLIA 4 petang dan pihak Kedutaan Vietnam juga akan mengiringinya di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media melaporkan, Doan dibebaskan pada awal pagi hari ini selepas tempoh penjara tamat.

Pada 1 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan atas pertuduhan alternatif dihadapinya, menyebabkan kecederaan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Jong-nam dengan menggunakan bahan berbahaya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap Doan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan alternatif yang ditawarkan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Vietnam pada prosiding hari pertama bela diri.

Doan diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 15 Februari 2017.

Pada 15 Mac lalu, Doan dibawa ke Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan kerana tidak boleh tidur selepas Siti Aisyah, warga Indonesia, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh.

Sementara itu, kira-kira 20 pengamal media dalam dan luar negara menunggu di luar Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai Doan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:56 AM