DOAN dijangka dibebaskan dari Penjara Kajang pada 5 Mei.
DOAN dijangka dibebaskan dari Penjara Kajang pada 5 Mei.
Sarah Zulkifli


“SAYA mahu menjadi penyanyi dan pelakon selepas dibebaskan nanti,” kata wanita Vietnam, Doan Thi Huong kepada media selepas tamat prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Terdahulu, Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan selepas Doan mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif, menyebabkan kecederaan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam menggunakan bahan berbahaya.

Difahamkan, Doan, 30, dijangka dibebaskan dari Penjara Kajang pada 5 Mei ini dan terus pulang ke negara asalnya.

Azmi turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkapan pada 15 Februari 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman Azmi berkata, tertuduh sangat bertuah apabila ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan hukuman diperuntukkan adalah penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

“Kamu juga amat bernasib baik kerana tiada sebatan disebabkan kamu adalah wanita dan tiada peruntukkan undang-undang untuk mengenakan sebatan ke atas tertuduh wanita.

“Jika perbicaraan bela diri diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kamu berdepan hukuman mati jika kamu disabitkan kesalahan kerana perbicaraan bergantung sama ada kamu boleh menimbulkan keraguan munasabah atau tidak,” katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan terhadapnya, Doan tersenyum dan dilihat beberapa kali menundukkan kepalanya di dalam kandang tertuduh.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, pihak mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan peguam serta Kedutaan Vietnam sepanjang kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak media yang membuat liputan sepanjang kes ini berlangsung,” katanya melalui jurubahasa Vietnam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan merbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) jam 9 pagi pada 13 Februari 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memohon hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap kerana ia adalah kesalahan pertama di negara ini selain tertuduh juga kesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu yang berlaku di tempat awam iaitu di klia2.

Selepas prosiding tamat, Doan kemudian dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Shah Alam dengan kawalan ketat pasukan keselamatan termasuk anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Ratusan pengamal media termasuk dari luar negara menunggu sejak jam 7 pagi di kompleks mahkamah untuk liputan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Doan yang memakai baju kalis peluru sempat berkata kepada jurugambar I love you all dan thank you.

Sebelum ini, Doan didakwa membunuh Kim Chol mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabit kesalahan.

Pada 15 Mac lalu, Doan dibawa ke Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan kerana mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh tidur selepas Siti Aisyah, warga Indonesia, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pada 11 Mac lalu.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah sama memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara itu dan perbicaraan peringkat pendakwaan kes bermula pada 2 Oktober 2017 dengan 34 saksi dipanggil memberikan keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:01 AM