Sarah Zulkifli


PROSIDING pengecaman barang kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, dilakukan di Jabatan Kimia, hari ini, berikutan terdapat isu keselamatan.

Barang kes itu adalah baju T tertulis nama dua tertuduh, Siti Aisyah, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, warga Vietnam serta keratan kuku Doan. Bahan agen saraf VX yang aktif masih terdapat pada ketiga-tiga barang kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, proses pengecaman barang kes berlangsung selama satu jam setengah di Jabatan Kimia.

"Pihak yang masuk ke dalam makmal terdiri daripada Doan, Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia Dr S Raja, peguam S Selvi yang mewakili Siti Aisyah dan dua pegawai pengiring.

"Proses pengecaman barang kes dijalankan di dalam bilik yang dilengkapi dengan sebuah makmal," katanya ketika ditemui selepas prosiding yang tamat kira-kira 12 tengah hari itu.

Beliau berkata, kesemua mereka dikehendaki memakai baju pelindung bahan kimia dan topeng pernafasan, manakala Hakim Datuk Azmi Ariffin, barisan pendakwaan dan peguam bela yang lain berada di luar makmal yang hanya dipisahkan dengan dinding kaca.

Pada prosiding Khamis lalu, Dr Raja yang memberikan keterangan berhubung barang kes terbabit yang diletakkan dalam beg plastik dan dimeterai, menyarankan supaya ia dibuka bagi tujuan pengecaman di Jabatan Kimia atas faktor keselamatan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang memakai baju kurung tiba di jabatan berkenaan pada jam 9 pagi diringi pihak polis, manakala Hakim Datuk Azmi Ariffin tiba pada jam 9.30 pagi.

Media mula berkumpul di Jabatan Kimia seawal jam 7.30 pagi.

Siti Aisyah, 25 dan Doan, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jong-nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau dilaporkan berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Berita berkaitan :

Pembunuhan Jong Nam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 3:18 PM
Suspek warga Indonesia, Siti Aishah (dua dari kanan depan) dan suspek warga Vietnam, Doan Thi Huong diiringi anggota polis keluar dari Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berhubung kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. FOTO Sairien Nafis
Suspek warga Indonesia, Siti Aishah (dua dari kanan depan) dan suspek warga Vietnam, Doan Thi Huong diiringi anggota polis keluar dari Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berhubung kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. FOTO Sairien Nafis