Siti A’isyah Sukaimi


“SAYA sangat gembira dan terima kasih kepada semua. Saya sayang anda semua,” kata warga Vietnam, Doan Thi Huang yang sebelum ini dituduh dalam kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Penghargaan itu disampaikan Doan, 30, menerusi surat yang ditulisnya ketika bertemu peguamnya di Penjara Wanita Kajang, semalam.

Surat berkenaan dibacakan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada masa sama, Doan turut mengucapkan penghargaan kepada pendakwa raya, peguam dan hakim yang terbabit dalam prosiding dihadapinya selain Peguam Negara.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Penjara Wanita Kajang kerana menjaga saya dengan baik serta kerajaan Malaysia dan Vietnam termasuk pihak media yang memberikan sokongan.

“Terima kasih kepada semua orang yang mendoakan saya,” katanya menerusi surat berkenaan.

Surat ditulis sendiri oleh Doan menggunakan pen dakwat hitam dan kertas putih bersaiz A4 malah ia turut ditandatanganinya.

Turut hadir ada sidang media itu ialah dua lagi peguam Doan, Datuk Naran Singh dan Salim Bashir.

Ketiga-tiganya bersama Doan berlepas ke Hanoi, Vietnam 7.15 malam hari ini menerusi pesawat Vietnam Airlines.

Sementara itu, Hisyam berkata, pihaknya menyifatkan kes berkenaan tamat serta tidak akan dibuka semula.

Doan dibebaskan awal pagi tadi selepas tempoh penjara tamat serta dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya sebelum bergerak ke KLIA untuk berlepas ke Vietnam, hari ini.

Pada 1 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan atas pertuduhan alternatif dihadapinya, menyebabkan kecederaan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Jong-nam dengan menggunakan bahan berbahaya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap Doan selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan alternatif yang ditawarkan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Vietnam pada prosiding hari pertama bela diri.

Doan diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 15 Februari 2017.

Pada 15 Mac lalu, Doan dibawa ke Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan kerana tidak boleh tidur selepas Siti Aisyah, warga Indonesia, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Jong Nam
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 5:39 PM
    Doan Thi Huang pulang ke Hanoi malam ini. FOTO Saddam Yusoff
    Doan Thi Huang pulang ke Hanoi malam ini. FOTO Saddam Yusoff