ANTARA PATI ditahan PPM. FOTO Ihsan Polis Marin.
ANTARA PATI ditahan PPM. FOTO Ihsan Polis Marin.
Iskandar Shah Mohamed


CUBAAN 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang menyambut Ramadan dan Aidilfitri terbantut selepas mereka dicekup pihak berkuasa di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam.

Difahamkan, semua warganegara asing berusia antara 21 hingga 61 tahun

menaiki dua bot pom-pom berasingan dalam perjalanan keluar dari perairan negara ini.

Pergerakan bot berkenaan berjaya dihidu sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) pada 6 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Kamal berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati dua bot itu cuba membawa keluar semua PATI berkenaan melalui jalan tidak sah.

“Hasil pemeriksaan kami menahan 14 lelaki dan tujuh wanita kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sementara itu lapan lelaki dan seorang wanita didapati memiliki pasport namun tinggal

lebih masa di negara ini.

“Selain itu, kami menahan tujuh lagi lelaki disyaki tekong bot dan awak-awak bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, warganegara asing berkenaan dan bot pom pom dinaiki dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas tujuh telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,176. Keseluruhan rampasan termasuk bot pom-pom adalah RM47,176,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran(ATIPSOM 2007) kerana menjalankan penyeludupan migran.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) C dan Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:30 PM